Rendang unta gamit memori bekas orang kuat FAM

Saifuddin bersama isteri, anak, menantu dan cucunya ketika menyambut 1 Syawal di Melaka pada Sabtu lalu.
Saifuddin bersama isteri, anak, menantu dan cucunya ketika menyambut 1 Syawal di Melaka pada Sabtu lalu.
A
A
A

SETIAP kali tiba 1 Syawal, keenakan rendang unta kembali menggamit selera bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Menurut Mohd Saifuddin, juadah itu antara yang sering menjadi pilihannya apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun ketika bertugas di luar negara.

“Seingat saya, pertama kali saya merasai rendang unta ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa bertugas di bumi Arab selama 11 tahun.

“Saya merasai rendang unta itu sebagai juadah 1 Syawal disediakan oleh isteri yang rasanya lebih enak berbanding rendang lembu atau ayam.

Daging unta tekstur halus dan tidak berlemak dibanding daging lembu.
Daging unta tekstur halus dan tidak berlemak dibanding daging lembu.

“Daging unta tekstur halus dan tidak berlemak dibanding daging lembu. Dagingnya tidak hancur jika dimasak rendang Minang yang perlu dimasak lebih lama.

“Pernah satu ketika saya bawa balik ke Malaysia untuk dikongsi bersama-sama ahli keluarga. Apa pun menu kegemaran saya ialah rendang Minang air tangan isteri tersayang,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sebagai rekod, Mohd Saifuddin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila menjadi anak Malaysia pertama bertugas dengan persatuan bola sepak luar negara bermula sebagai Penolong Ketua Pertandingan Liga Professional Qatar (2009-2012).

Selepas itu, Mohd Saifuddin dilantik perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA) dari 2012 hingga 2019.

Berkongsi pengalaman beraya di luar negara sebelum ini, Mohd Saifuddin mengakui banyak memori indah menggamit kenangan ketika berada di perantauan.

“Lemang antara juadah kegemaran dan wajib dimakan setiap kali sambutan Aidilfitri. Raya saya boleh katakan, tak feel kalau tiada lemang.

“Disebabkan semata-mata nak rasa feel lemang, saya dan beberapa orang sahabat sanggup bakar lemang yang buluhnya dibawa dari Malaysia.

“Kemeriahan beraya di perantauan tetap tak semeriah di Malaysia apabila dapat berkumpul dengan anak beranak, sanak saudara dan rakan taulan,” jelasnya.

Daging unta goreng, masak tomato dan nasi Arab daging unta masakan tradisi masyarakat Arab hidangan sambutan 1 Syawal semasa Saifuddin dan keluarga di Oman.
Daging unta goreng, masak tomato dan nasi Arab daging unta masakan tradisi masyarakat Arab hidangan sambutan 1 Syawal semasa Saifuddin dan keluarga di Oman.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna kepada Mohd Saifuddin dan isterinya, Hanizah Hashim dengan kehadiran anggota baharu dalam keluarga.

“Alhamdulillah... kehadiran cucu pertama saya yang baru berusia enam bulan, Nurul 'Aliya Sofea ternyata menceriakan lagi sambutan keluarga besar kami.

“Syukur biarpun saya sibuk dengan tugasan dalam dan luar negara, saya masih diberikan kesempatan untuk meraikan 1 Syawal kali ini bersama-sama ahli keluarga di Melaka.

“Saya sebelum ini beberapa kali telah beraya di luar negara semasa di Qatar dan Oman serta semasa mengendalikan pertandingan. Saya akan ke Riyadh pada raya keempat kerana tuntutan tugas,” ujar anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka berusia 63 tahun itu.

Mohd Saifuddin sebelum ini dilantik menjawat jawatan nombor dua dalam FAM menggantikan Stuart Ramalingam pada Ogos 2021.

Namun setiausaha agung FAM ke-10 itu kemudian melepaskan jawatan itu pada 23 Ogos 2022 bagi menyahut semula cabaran sebagai komisioner perlawanan.

Mohd Saifuddin kini menabur pengalaman bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengendalikan pertandingan anjuran badan induk bola sepak dunia tersebut.

“Selepas tidak lagi bersama FAM, saya diberikan kepercayaan oleh AFC, AFF untuk menjalankan tugas sebagai komisioner perlawanan.

“Antara tugas telah dipertanggungjawabkan AFF kepada saya adalah memastikan kelancaran perjalanan Piala AFF di semua negara ASEAN.

“AFC juga telah memberi kepercayaan menjalankan tugas bagi kejohanan Bawah 17 tahun di Jordan, Bawah 20 tahun di Kuwait, Liga Juara-Juara Asia di Doha terbaharu kejohanan Bawah 20 tahun di Bangladesh,” katanya.