Cuaca panas ekstrem, jalan tar cair

Permukaan jalan mengeluarkan cecair.
Permukaan jalan mengeluarkan cecair.
A
A
A

GANDHINNAGAR - Cuaca panas ekstrem menyebabkan jalan tar di satu kawasan di negeri Gujarat, India cair.

Rakaman kejadian di bandar Surat itu dikongsi secara meluas dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam rakaman video itu, jelas kelihatan permukaan jalan cair seperti lepas hujan.

Difahamkan, jalan sepanjang 200 meter (m) menghubungkan Jambatan Chandra Shekar Azad dan Adajan Patiya itu baru sahaja diturap pada 11 April lalu.

Namun, peningkatan suhu panas sejak minggu lalu menyebabkan permukaan jalan cair dan situasi itu telah mengganggu kelancaran trafik.

Beberapa penunggang motosikal 'tersekat' di jalan tersebut, malah ada pengguna terpaksa pulang ke rumah berkaki ayam selepas kasut atau selipar mereka melekat di permukaan jalan.

Pemilik kenderaan pula terpaksa memandu dalam keadaan perlahan.

Sementara itu, wakil Perbadanan Perbandaran Surat (SMC) memaklumkan tindakan menabur pasir di kawasan berkenaan telah diambil bagi memastikan kelancaran trafik.

Wakil SMC yang enggan dinamakan itu juga menafikan dakwaan bahawa pihak kontraktor yang bertanggungjawab menaik taraf jalan tersebut menggunakan bahan yang tidak mematuhi standard. - Agensi