Rondaan berkuda, cara unik KRT cegah jenayah

KRT Taman Tasek Putra, Tronoh di sini mengambil inisiatif unik dengan mewujudkan rondaan berkuda. (Gambar kecil: Mohammad Alfi (kiri), Khairul Anuar, Mahyuddin
KRT Taman Tasek Putra, Tronoh di sini mengambil inisiatif unik dengan mewujudkan rondaan berkuda. (Gambar kecil: Mohammad Alfi (kiri), Khairul Anuar, Mahyuddin
A
A
A

BATU GAJAH - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tasek Putra, Tronoh di sini mengambil inisiatif unik dengan mewujudkan rondaan berkuda dalam usaha mencegah kegiatan jenayah di kawasan kejiranan.

Inisiatif yang digerakkan sejak Januari itu melibatkan tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Tasek Putra, Tronoh Universiti Fasa 1, 2 dan 3, Taman Tronoh Awana, Tronoh Akasia dan Uni Park Land membabitkan lebih 700 kediaman.

Pengerusi KRT, Shahril Ridhwan Jalaludin berkata, tiga ekor kuda diberi nama Fateh berusia 4 tahun, Melor, 4, dan Shammus, 5 bulan bersama 20 anggota skim rondaan sukarela (SRS) ditugaskan melakukan rondaan secara bergilir meliputi kawasan sejauh 5 kilometer.

Menurutnya, kebenaran membawa masuk kuda berkenaan sudah diluluskan dan kesemua haiwan itu ditempatkan di kandang khas sebelum diguna untuk tujuan rondaan di darat.

"Kami berani mengambil inisiatif ini kerana dipantau pelatih kuda yang bertauliah. Terdapat empat penduduk termasuk saya sendiri mempunyai autoriti dan kebolehan mengendalikan kuda.

"Usaha ini turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada polis kerana secara tidak langsung membantu pihak berkuasa mengawasi keselamatan penduduk.

Komuniti KRT Taman Tasek Putra, Tronoh melaksanakan SRS dalam usaha pencegahan jenayah di kawasan kejiranan.
Komuniti KRT Taman Tasek Putra, Tronoh melaksanakan SRS dalam usaha pencegahan jenayah di kawasan kejiranan.

"Penduduk bersama pihak pemaju juga menyambut baik usaha ini dan menganggap sebagai satu inisiatif unik yang tidak terdapat di taman perumahan lain," katanya.

Bagi pemilik dan pelatih kuda, Mohammad Alfi Syahmi Mohammad Sofian, kuda yang digunakan bagi tujuan rondaan telah dilatih dan terbukti berupaya dalam mengawal keselamatan setempat.

Katanya, sesuai dengan ketahanan haiwan itu, kuda sama juga digunakan dalam aktiviti menunggang kuda bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mengalami autisme.

"Satu daripada matlamat kita menerusi rondaan ini untuk memasyarakatkan sunah sukan berkuda kerana ramai yang beranggapan aktiviti ini hanya untuk kelas tinggi sahaja.

"Sebenarnya masyarakat majmuk pun boleh berinteraksi dengan kuda. Jika DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Perbadanan Putrajaya dan polis ada pasukan berkuda sendiri, kita di KRT pun boleh wujudkan aktiviti sama," katanya.

Ditanya mengenai cabaran membuat rondaan berkuda pada waktu malam, Mohammad Alfi Syahmi berkata, individu yang mengendalikan kuda perlu bijak membina kepercayaan dengan haiwan berkenaan.

Rondaan berkuda di kawasan perumahan disifatkan lebih praktikal dalam usaha pencegahan jenayah.
Rondaan berkuda di kawasan perumahan disifatkan lebih praktikal dalam usaha pencegahan jenayah.

"Keadaan ini lebih kepada horsemanship, kuda perlu mengenali siapa yang mengendalikannya, barulah boleh mendengar arahan dan beri kerjasama yang baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Rondaan SRS, Khairul Anuar Othman berkata, istimewanya rondaan berkuda apabila dapat membuat pemerhatian hingga ke dalam rumah berpagar yang tinggi.

Malah katanya, rondaan berkuda dapat dimanfaatkan memasuki kawasan yang sukar bagi motosikal seperti melintasi longkang dan tempat yang sempit.

"Apabila melibatkan taman perumahan, banyak laluan dan bahagian kediaman yang sukar dilalui menggunakan kenderaan. Jadi adanya kuda mudahlah tugas pemantauan dan pengawasan dibuat," katanya.

Beliau berkata, setiap kali musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri, hampir 70 peratus kediaman taman perumahan itu ditinggalkan untuk pulang ke kampung.

"Dahulu pernah juga berlaku kes pecah rumah dan kita harap inisiatif baru digerakkan ini dapat membantu mengatasi masalah jenayah seperti itu," katanya.

Istimewanya rondaan berkuda apabila dapat membuat pemerhatian hingga ke dalam rumah berpagar yang tinggi.
Istimewanya rondaan berkuda apabila dapat membuat pemerhatian hingga ke dalam rumah berpagar yang tinggi.

Penduduk, Mahyuddin Yeop Ahmad, 62, berkata, rondaan berkuda lebih praktikal dalam usaha pencegahan jenayah kerana kehadirannya tidak dapat dikesan.

"Selalu saya tinggal rumah 2 ke 3 hari untuk balik beraya di kampung. Adanya pasukan rondaan ini rasa selamat dan tiada rasa was-was mahu meninggalkan rumah," katanya.