Aidilfitri: Orang ramai lebih berjimat, kawal perbelanjaan

Dari kiri: Fidzruul, Hairul, Jefri
Dari kiri: Fidzruul, Hairul, Jefri
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, namun disebabkan keadaan ekonomi kurang baik menyebabkan orang ramai membuat keputusan berjimat cermat dalam membuat persiapan.

Ujar Jefri Tarmizi, 47, beliau lebih memfokuskan bajet bagi perbelanjaan makanan pada hari lebaran itu berbanding perkara lain.

“Sekarang ini barangan basah macam ikan pun dah mahal sedikit sekitar dua ke tiga ringgit. Dulu-dulu beli sekitar RM19 ke RM20. Sekarang RM24 ke RM26. Memang agak mahal sikit.

“Tapi sebab nak raya ni, belanja untuk makanan tak boleh lari dalam RM200, nak tak nak kena juga. Cuma untuk pakaian macam baju raya, saya tak belilah. Pakai sahaja yang lama-lama.

“Sekarang ini, memang nak kena jimatkan perbelanjaaan, kita raya hujung bulan, gaji belum dapat. Sekolah pun baru mula, nak belanja untuk itu lagi. Jadi, agak 'keras' sikit perbelanjaan di situ,” kata ayah kepada enam cahaya mata itu kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Fidzruul Mohd Fooze, 34, menjelaskan bahawa beliau turut mengurangkan perbelanjaan untuk membeli keperluan seperti daging bagi menyediakan juadah hari raya.

“Harga daging pun dah meningkat, saya beli 2 kilogram (kg) dalam RM95, kalau sebelum ini murah sikit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hairul Azhar Jaafar, 34, berkata, beliau membuat perubahan terhadap bajet makanan pada hari raya dengan lebih menumpukan terhadap menu harian yang tidak memerlukan perbelanjaan besar.

“Macam saya beli ayam. Saya masak biasa sahaja, ayam goreng dimakan bersama nasi putih. Rendang tu tak buat sebab anak pun masih kecil, mereka tak makan sangat.

“Jadi, perbelanjaan membeli keperluan itu bertahan bagi jangka masa panjang berbanding kita beli untuk masak lauk hari raya yang makannya beberapa hari saja, lepas itu kena beli lagi,” jelasnya yang juga merupakan seorang peniaga.