Rakan-rakan banyak membantu harungi saat sukar

Muhammad Amir (kanan) yang juga Ketua Pelajar MTIS membantu rakan-rakan di maahad tersebut.
Muhammad Amir (kanan) yang juga Ketua Pelajar MTIS membantu rakan-rakan di maahad tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Dikelilingi rakan-rakan di asrama membuatkan hidup seorang remaja yang juga anak yatim piatu ceria walaupun masih terasa kehilangan kedua ibu bapanya.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang di sini, Muhammad Amir Udzair Muhamad Paudzi, 17, dari Jengka itu kehilangan ayah ketika berusia 12 tahun, disusuli ibunya pada 2020 lalu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu memberitahu, rakan-rakan banyak membantu mengharungi saat sukar walaupun mengakui ada sedikit rasa cemburu melihat mereka yang dikelilingi ibu bapa.

“Di sini, saya banyak mendapat sokongan rakan selain sokongan adik-beradik,” katanya.

Dia yang juga Ketua Pelajar MTIS berkata, Ramadan dan Aidilfitri disambut seperti biasa walaupun tanpa ibu bapa.

“Masa awal puasa, ada balik rumah dan begitu juga raya nanti, cuma bila tiada ibu bapa macam orang lain, memang suasananya berbeza.

“Masa ibu ada, dendeng daging memang wajib bila raya dan sekarang ini diteruskan oleh kakak,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, remaja itu mengakui belum memikirkannya, namun sudah menghafaz 22 juzuk al-Quran.