Susah senang tetap jaga adik

Jubah milik ibu menjadi pengubat rindu buat Nur Anis Syafika (kanan) dan Nur Izatul Farisha menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Jubah milik ibu menjadi pengubat rindu buat Nur Anis Syafika (kanan) dan Nur Izatul Farisha menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
A
A
A

KAMPAR - Kehilangan ayah dan ibu dua tahun berturut-turut pada 2020 dan 2021, amat memeritkan bagi dua beradik yang tinggal di Kampung Sahom di sini.

Bagi Nur Anis Syafika Lasa, 22, situasi itu tetap perlu ditempuhi dengan kekuatan bersama adiknya, Nur Izatul Farisha Lasa, 17, selepas terpaksa memikul tanggungjawab berat tersebut bermula tahun lalu.

Bapanya, Lasa Mat Lawi, 89, meninggal dunia pada tahun 2020 akibat sakit tua, manakala ibunya, Zainah Ariffin, 48, meninggalkan mereka pada tahun 2021 akibat kanser usus.

Menurutnya, tahun lepas paling dirasai kehilangan kedua-dua mereka apabila hanya beraya bersama adiknya di rumah pusaka peninggalan orang tua di kampung tersebut.

“Kami ini dari keluarga sederhana. Walaupun hanya dua beradik, kami bukanlah hidup mewah cuma beruntung ada rumah sendiri.

“Sewaktu awal pemergian mereka, memang agak mencabar dari segi emosi dan jiwa kerana hilang tempat untuk mendapatkan kasih sayang.

“Tapi saya kuatkan diri demi adik kerana dia masih bersekolah dan paling rapat serta banyak meluangkan masa dengan mak terutama ketika mak sakit.

“Hari raya tahun lepas memang suram sebab mak dah tak ada,” katanya sambil menyeka air mata ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Di sebalik kesedihan itu, Nur Anis Syafika yang sudah berkahwin mempunyai dua cahaya mata bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada suami untuk menjaga adiknya walaupun menjadi suri rumah.

Menurutnya, perbelanjaan sekolah, makan minum dan pakaian menjadi keutamaan si adiknya selagi masih belajar.

Sementara itu, Nur Izatul Farisha yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, reda dengan pemergian kedua orang tuanya dan tetap gembira tinggal bersama kakaknya.

“Saya rapat dengan mak sebab sepanjang arwah sakit, saya yang banyak berulang ke hospital menguruskan mak. Jadi memang terasa sangat kehilangan mak walaupun saya reda.

“Kalau ikutkan memang banyak kenangan dengan mak tetapi saya pun kena kuat macam kakak sebab semua yang berlaku sudah ditentukan ALLAH.

“Paling kami rindukan sebenarnya masakan mak dan saya rasa, bukan kami berdua tetapi saudara-mara juga jiran pasti teringatkan menu raya kesukaan Allahyarham terutama laksa dan kuetiau goreng,” katanya.

Katanya, setiap kali hari raya, rumah terbuka menjadi kewajipan dan sentiasa dinanti semua orang untuk menikmati hidangan utama air tangan ibunya.

Namun kini hanya baju kurung, jubah dan kain batik milik orang tuanya menjadi pengubat rindu setiap kali teringatkan mereka.