Yayasan SP Setia anjur Bengkel Literasi Kewangan buat asnaf

Syed Anwar (dua dari kanan) menyampaikan Bakul Syawal kepada salah seorang penerima selepas merasmikan majlis tersebut.
Syed Anwar (dua dari kanan) menyampaikan Bakul Syawal kepada salah seorang penerima selepas merasmikan majlis tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan SP Setia menganjurkan Bengkel Literasi Kewangan yang memberi fokus kepada pengurusan kewangan asas dengan membabitkan penyertaan seramai 80 asnaf.

Bengkel tersebut mendapat kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengerusi SP Setia Berhad, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Baitussalam Pusat Perlindungan Asnaf LZS dekat sini.

Menurut Syed Anwar yang juga merupakan Pengerusi LZS, kerjasama julung kali empat badan itu adalah bagi membantu golongan masyarakat yang memerlukan.

“Kerjasama julung kali ini juga adalah sebagai satu penanda aras baharu dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan (asnaf),” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Pihak pengurusan Yayasan SP Setia dan sukarelawan korporat yang membantu melancarkan Bengkel Literasi Kewangan bergambar bersama selepas sesi bengkel berakhir.
Pihak pengurusan Yayasan SP Setia dan sukarelawan korporat yang membantu melancarkan Bengkel Literasi Kewangan bergambar bersama selepas sesi bengkel berakhir.

Pada majlis sama, Syed Anwar turut menyampaikan pemberian Bakul Syawal dan dana zakat bernilai RM380 setiap peket kepada 80 penerima asnaf.

Dana zakat tersebut disumbangkan oleh Perumahan Kinrara Berhad iaitu salah satu anak syarikat SP Setia.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan SP Setia, Datuk Zuraidah Atan dan Pengarah SP Setia Bhd, Datuk Dr Abdul Rahman Abdullah serta Pemegang Amanah LZS turut berada di pentas sebagai saksi.

Selaras dengan objektif amanah kedua Yayasan SP Setia, bengkel ini bertujuan untuk memberi bantuan dalam memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik, kurang upaya, dilanda kemiskinan atau sakit kritikal.

Sesi pertama Bengkel Celik Kewangan menyentuh pengurusan kewangan untuk masa depan yang lebih baik serta petua pencegahan penipuan dikendalikan Penolong Naib Presiden ASNB, Izmir Mohammad.

Sesi kedua pula disampaikan oleh Eksekutif Kanan Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah daripada AKPK, Muhd ​​Khairil Ashraf Mohd Karid yang memfokuskan kepada simpanan untuk keluarga.

Sesi bengkel ini melengkapkan komuniti asnaf yang mempunyai kemahiran penting dalam mengurus kewangan dengan berkesan yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai belanjawan, menyimpan dan melabur.