KDN bakal bina ICQS Bukit Berapit Pengkalan Hulu

Shamsul Anuar (berdiri, tengah) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN MADANI di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong, pada Rabu. - Foto Bernama
Shamsul Anuar (berdiri, tengah) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN MADANI di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

LENGGONG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal membina bangunan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu berhampiran pintu sempadan antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembinaan itu susulan kedudukan ICQS Bukit Berapit yang agak jauh iaitu kira-kira 700 meter dari pintu sempadan antarabangsa hingga boleh menyebabkan isu pencerobohan dan penyeludupan sama ada ke luar atau ke dalam negara kerap berlaku.

"Keputusan pembinaan ICQS diatur dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk masa akan datang supaya isu berbangkit dapat diselesaikan secara tersusun.

"Namun demikian kerana RMK13 masih lagi jauh, kerja-kerja penyediaan dokumen dan skop kerja akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan kerja-kerja fizikal dapat dilakukan dengan lancar apabila peruntukan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN MADANI di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Shamsul Anuar berkata, pembinaan ICQS tersebut dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara yang turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 11 April lalu.

Katanya, isu pencerobohan dan penyeludupan sering dibangkitkan pada mesyuarat keselamatan peringkat daerah dan negeri dan menjadi perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Untuk jangka masa pendek, KDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat keputusan akan memindahkan sekatan jalan raya PDRM daripada kedudukan sekarang ke pintu hadapan antarabangsa.

"Ini membolehkan kawalan dan saringan PDRM boleh dibuat di situ. Ia merupakan jangka masa pendek dan kita harap isu pencerobohan dan penyeludupan dapat ditangani oleh PDRM bersama agensi yang lain seperti Jabatan Imigresen.

"Kalau kita lihat sekatan jalan raya dengan pintu sempadan antarabangsa jauh menyebabkan teksi sapu Thailand boleh masuk kerana imigresen berada jauh. Langkah jangka pendek kita pindahkan berhampiran pintu antarabangsa,” katanya. - Bernama