Bomba Perak sedia pelan luar jangka hadapi musim panas

Azmi (dua dari kiri) bersama Sandra Ng Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Bersama Pengusaha-pengusaha Hotel di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Azmi (dua dari kiri) bersama Sandra Ng Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Bersama Pengusaha-pengusaha Hotel di sebuah hotel di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyediakan pelan luar jangka dalam menghadapi cuaca panas terutama ketika musim perayaan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pelan tersebut meliputi persediaan dari segi peralatan, bekalan air dan anggota yang bertugas.

Jelas beliau, sebanyak 20 peratus anggota yang dibekukan cuti bagi memastikan kesiapsiagaan jika berlaku bencana serius.

"Selain memfokuskan kepada lalu lintas, kita juga akan memfokuskan kebakaran kerana kita tidak nafikan bahawa musim perayaan ini ekoran daripada cuaca panas kerana ada juga negeri yang mencecah 40 darjah Celsius termasuk beberapa kawasan di Perak menghadapi situasi sama.

"Kita bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku kebakaran sampah, kebakaran hutan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Bersama Pengusaha-pengusaha Hotel di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Chin.

Sementara itu, Azmi berkata, sempena musim perayaan juga, beberapa anggota akan ditempatkan tiga lokasi strategik iaitu di Plaza Tol Kuala Kangsar, Plaza Tol Taiping dan dan Plaza Tol Kamunting.

Jelasnya, penempatan anggota di kawasan itu bertujuan memberi respon segera bagi membantu kerja-kerja menyelamat jika berlaku insiden di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan polis dan agensi lain sepanjang tempoh perayaan itu.