Johan Jaaffar Tokoh Wartawan

Maszlee menyampaikan anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada Johan. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Maszlee menyampaikan anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada Johan. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Moderator program Bicara Minda Sinar Harian, Tan Sri Johan Jaaffar dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Kewartawanan Malaysia Malaysian Press Institute (MPI)- Petronas 2019.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Melayu dan Media Prima membawa pulang RM30,000, sijil khas dan trofi.

Malam Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2019 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Maszlee ketika berucap mengumumkan biasiswa khas kepada para wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, ia merupakan hadiah kementerian bagi menghargai sumbangan dan peranan para wartawan dalam membentuk Malaysia baharu yang diidamkan.

“Perincian mengenai biasiswa ini akan disiarkan dalam masa terdekat,” katanya pada majlis yang berlangsung di Berjaya Times Square di sini, malam ini.

Maszlee bergambar bersama semua pemenang sempena Malam Kewartawanan Malaysia Malaysian Press Institute (MPI)- Petronas 2019 di sini malam ini. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Maszlee bergambar bersama semua pemenang sempena Malam Kewartawanan Malaysia Malaysian Press Institute (MPI)- Petronas 2019 di sini malam ini. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani

Tambah Maszlee, kerajaan komited untuk mengukuhkan lagi kebebasan media di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kerajaan akan menyemak semula kerangka undang-undang yang dianggap mengongkong dan mengekang kebebasan media.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee.

Sementara itu, Sinar Harian memenangi dua anugerah saguhati. Wartawan SinarTV Noor Liza Abu Hasan; Nurul Riduan Nor Ashaha; Sharifudin Abdul Rahim dan Mohd Zamir Mohd Yusoff memenangi saguhati bagi kategori Berita Video Terbaik.

Laporan bertajuk Rakyat Malaysia Tanggung Pendatang Haram! membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan cenderahati.

Sementara Pengarah Seni Muda Sinar Harian, Zainuddin Haron merangkul anugerah saguhati bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan cenderahati.

Sebanyak 268 jumlah penyertaan direkodkan bagi 16 kategori yang dipertandingkan.