Uchee Fukada terkejut penerimaan penonton Nur 2

Uchee Fukada
Uchee Fukada
A
A
A

BAGI yang mengikuti drama bersiri Nur 2 dan sudah pun melabuhkan tirainya semalam, watak jiran Nur yang 'kepoh', bercakap laju serta memakai baju tidur kelawar sehingga digelar 'Acik Kelawar', barangkali bukan asing lagi.

Bukan itu sahaja, ada juga yang menggelar pelakon itu dengan panggilan 'wongshe wonghse', 'rapper' dan banyak lagi kerana kebolehannya bercakap laju dengan baik.

Namun bagi pelakon drama itu yang hanya mahu dikenali dengan nama Uchee Fukada, sambutan dan impak yang diterima oleh penonton setia Nur 2 amat mengejutkan dirinya.

Jelas Uchee yang juga merupakan penolong pengarah untuk drama berkenaan, niat awalnya hanyalah membantu pengarah, Shahrulezad Mohamedin.

"Sebelum ini saya ada juga berlakon untuk watak kecil dalam beberapa telefilem terbitan Radius One.

"Jadi bila dia minta saya bawakan watak sebagai jiran Nur, saya tak kisah dan sedia membantu, walaupun pada dasarnya ianya sekadar bidang terjun untuk saya.

"Malah perkataan 'wongshe wongshe' itu saya sebut kerana terlupa dialog. Maklumlah skrip abang Ijat (Shahrulezad) panjang.

"Tapi saya tak sangka impak yang saya dapat selepas membawakan watak berkenaan, sehinggakan followers di akaun Instagram saya naik mencanak," jelasnya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Menurut bekas pelajar teater dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, bagi yang mengenali dirinya, pasti tidak hairan sekiranya dia bercakap laju.

Namun bagi penonton, mereka mungkin melihat dari sudut yang berbeza.

"Siapa yang kenal saya, tahulah perangai saya macam mana. Lagi-lagi kalau nak mulakan shooting ke. Kalau saya dah mula bercakap, memang ada yang cakap, 'haa.. Dah mula lah tu..'.

"Apa apa pun, saya berterima kasih kepada abang Ijat atas peluang yang diberikan.

"Dulu pun selepas tamat belajar, ada yang kata saya boleh berlakon, tapi saya tak yakin dan merasakan tidak mempunyai rupa yang baik.

"Tapi tak sangka peluang itu datang kepada saya. Buat masa ini, keutamaan saya masih kerja di belakang tabir. Jika ada tawaran, kita lihatlah macam mana nanti," katanya.