Mahasiswa UiTM kutip derma santuni asnaf

Sukarelawan UiTM yang turut serta dalam Projek Raya Aidilfitri Mahasiswa Prihatin bergambar kenangan.
Sukarelawan UiTM yang turut serta dalam Projek Raya Aidilfitri Mahasiswa Prihatin bergambar kenangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) telah menggerakkan kutipan derma dalam kampus bagi menyantuni komuniti Seksyen 19 di sini menerusi Projek Raya Aidilfitri Mahasiswa Prihatin.

Kutipan RM4,500 yang diperoleh digunakan untuk memberikan sumbangan berbentuk makanan kering termasuk ketupat segera kepada 50 keluarga asnaf menerusi satu majlis diadakan di Surau Hamiddean Seksyen 19 di sini pada Ahad.

Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Kolej kediaman Teratai UiTM Shah Alam, Afif Hilmi Aminudin berkata, kutipan derma daripada seluruh warga UiTM telah dimulakan pada 8 April lalu melalui edaran tabung di semua kolej kediaman.

Menurutnya, ini merupakan projek pertama dianjurkan (JPK) Kolej Kediaman Teratai dan sumbangan pertama diterima pihak surau daripada mahasiswa dalam tempoh tiga tahun selepas pandemik Covid-19.

"Objektif program ini dijalankan sebagai menyokong agenda di bawah teras utama Hal Ehwal Pelajar UiTM iaitu khidmat komuniti dan kesukarelawanan yang menekankan program berbentuk khidmat masyarakat serta aktiviti bersama komuniti.

"Ia juga bagi melahirkan entiti dalam masyarakat yang prihatin. Bukan sekadar sedar tanggungjawab kepada orang sekeliling tetapi mahasiswa turut serta membantu mengikut kemampuan," katanya.

Shahsuzan (tengah) bbersama barisan penerima sumbangan.
Shahsuzan (tengah) bbersama barisan penerima sumbangan.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Shahsuzan Zakaria.

Program turut disertakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan surau, berbuka puasa bersama komuniti disusuli solat tarawih berjemaah.

Sementara itu, Shahsuzan berkata, UiTM menyediakan dana sokongan bagi menggalak mahasiswa terlibat dalam program bersifat komuniti, kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

"Program ini sangat signifikan kepada mahasiswa yang menerapkan elemen keprihatinan dalam menyantuni masyarakat setempat.

" Program sebegini akan memberi kesedaran kepada mahasiswa kepentingan mengambil cakna tentang kehidupan masyarakat sekeliling, " katanya.