Jerebu di Terengganu terkawal

Keadaan jerebu di sekitar daerah Kuala Terengganu yang dirakam sekitar jam 5 petang pada Isnin.
Keadaan jerebu di sekitar daerah Kuala Terengganu yang dirakam sekitar jam 5 petang pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sentiasa memantau perkembangan cuaca di negeri itu berikutan fenomena jerebu yang kini melanda negara.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasmani Embong berkata, tindakan itu bagi menjamin kualiti kesihatan penduduk serta memastikan sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap yang baik.

"Walaupun buat masa ini keadaan cuaca di Terengganu boleh ketagorikan sebagai normal, situasi itu akan sentiasa di pantau dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan tiada berlakunya peningkatan penyakit disebabkan kesan perubahan cuaca akibat fenomena jerebu terutama melibatkan jangkitan saluran pernafasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau memberitahu, setakat ini Terengganu tidak merekodkan peningkatan kes melibatkan jangkitan saluran pernafasan.

Tambah beliau, keadaan jerebu yang melanda di beberapa kawasan di Terengganu masih berada pada tahap normal dan terkawal.

"Setakat ini keadaan jerebu di Terengganu tidak membimbangkan. Pergerakan orang ramai juga tidak terbatas malah mereka boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa," katanya.

Sinar Harian melaporkan empat lokasi di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Paka dan Besut mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap sederhana pada Isnin.

Berdasarkan Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga jam 2 petang ini, Kuala Terengganu merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 87 diikuti Kemaman (80), Paka (75) dan Besut (74).