Kerajaan bimbang serangan balas lebih ganas

Penduduk Islam tidak menghiraukan amaran dan tetap menunaikan solat Jumaat di Masjid Dawatagaha Jumma di Colombo, hari ini.
Penduduk Islam tidak menghiraukan amaran dan tetap menunaikan solat Jumaat di Masjid Dawatagaha Jumma di Colombo, hari ini.
A
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Orang Islam di Sri Lanka, hari ini dinasihatkan tidak pergi ke masjid selepas perkhidmatan risikan negara memberi amaran tentang ancaman bom kereta di tengah-tengah kebimbangan terhadap serangan balas lebih ganas.

Badan agama Islam utama di negara itu, All Ceylon Jamiyathul Ullama menggesa seluruh penduduk Islam supaya menunaikan solat di rumah jika terdapat keperluan untuk melindungi keluarga dan harta-benda milik mereka.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menghiraukan amaran itu dan masih menunaikan solat Jumaat di masjid seluruh negara.

Dalam satu kenyataan lain, Kardinal Malcolm Ranjith juga meminta sebarang aktiviti keagamaan di gereja dihentikan sehingga notis selanjutnya.

“Keselamatan adalah sangat penting ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Amerika Syarikat di Colombo juga menggesa rakyat mereka supaya mengelakkan tempat ibadah termasuk gereja selepas pihak berkuasa mendapat maklumat kemungkinan serangan susulan menyasarkan pusat keagamaan.

Britain turut memberi amaran kepada warga mereka supaya tidak berkunjung ke negara itu kerana bimbang dengan serangan baharu.

Hampir 10,000 tentera ditempatkan di seluruh negara untuk membantu operasi memburu suspek dan mengawal keselamatan di pusat keagamaan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, polis telah menahan 76 suspek dan memburu 140 individu dipercayai ada kaitan dengan Daesh dan terlibat ekstremisme sejak 2013. - AFP