Bina taman permainan dalam masjid

Banyak pengisian bagi golongan muda terutama pada musim cuti persekolahan. Gambar kecil:Murad Ahmat
Banyak pengisian bagi golongan muda terutama pada musim cuti persekolahan. Gambar kecil:Murad Ahmat
A
A
A

MELAKA - Bergelar imam pada usia muda bukan perlu dibanggakan, namun apa yang penting amanah serta tanggungjawab yang digalas.

Imam l Masjid Cina Negeri Melaka, (Al-Mutaqqin), Murad Ahmat, 36, berkata, medium yang ada digunakan sebagai medan dakwah dan yakin masjid yang dibuka kepada orang ramai sejak Jun 2014 itu bukan sahaja mampu menarik lebih ramai jemaah melalui pelbagai pengisian dan pendekatan tersendiri malah berpotensi sebagai lokasi pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, sebagai orang kuat masjid yang terletak di Krubong itu, beliau sentiasa mahu jadikan masjid sebagai rumah ibadat mesra pengunjung.

Katanya, disebabkan itu menerusi projek saham wakaf, beliau merancang membina taman permainan supaya ibu bapa tiada kekangan ke masjid dan anak-anak boleh ditempatkan di taman itu tatkala ibu bapa solat mahupun hadiri majlis ilmu.

Tambahnya, masjid tidak pernah meminggirkan golongan muda termasuk menyediakan banyak pengisian bagi golongan berkenaan terutama pada musim cuti persekolahan termasuk mengadakan kem solat, aktiviti memanah, pengurusan jemaah, kaedah penyembelihan dan sebagainya.

Islam untuk semua

Islam untuk semua itu bukanlah sekadar satu perkataan yang hanya diungkapkan di bibir sahaja, tapi ia membawa makna luas dan sesuai untuk semua bangsa tanpa mengira kaum ataupun agama.

Murad berkata, kerana itu dia juga merancang agar masjid dapat menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di negeri ini berdasarkan keunikan yang tersendiri lebih-lebih lagi di Malaysia hanya terdapat tiga masjid Cina iaitu di Rantau Pajang, Kelantan di Ipoh, Perak dan di Melaka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini dianggarkan 20,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara yang datang melawat ke masjid itu setiap tahun dan satu perkembangan positif agar masjid ini menjadi platform untuk masyarakat mengeratkan silaturahim selain beribadat mahupun beriktikaf.

Katanya, usaha menjadikan ia lokasi pelancongan secara tidak langsung dapat menyebarkan dakwah terutama kepada bukan Islam melalui kitab tafsir al-Quran yang diberikan kepada mereka sebagai cenderahati.

"Jika pelancong dari negara China kami akan berikan mereka tafsir al-Quran berbahasa mandarin selain disediakan kemudahan jubah untuk mereka masuk ke masjid.

"Cuma kami belum ada pemandu pelancong, atau juruinfo supaya penerangan yang disampaikan mengenai masjid dan Islam itu dapat disampaikan dengan betul, kerana kita bimbang 'tourist guide' yang mereka bawa tidak mempunyai maklumat yang lengkap dan menyampaikan masjid dengan fakta yang salah," katanya.

Tambahnya, sudah pasti pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya perkara itu dapat direalisasikan oleh kerajaan negeri selain memerlukan dana bagi menambah saham wakaf masjid untuk menambahkan kaligrafi di seni binaan masjid ini bagi menambahkan lagi keceriaan dan menampakkan ciri masjid Cina yang mana kos kaligrafi itu dianggarkan RM400,000.

Ditanya mengenai pengalaman dakwahnya yang bermula dari sebuah badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), pemegang ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu berkata, terlalu banyak pengalaman dikutip sepanjang bergelar ustaz, termasuk telah mengislamkan seramai 10 orang.

Menurutnya, tidak ketinggalan insiden mencuit hati dan masih segar di ingatan apabila masjid itu pernah dijadikan lokasi membakar kertas bagi kepercayaan agama lain.

"Peristiwa itu memang saya tak dapat lupakan. Ketika itu masjid ini baharu dibina dan papan tanda tak banyak jadi individu itu terlepas pandang," katanya.