'Sanusi main wayang berlebihan'

Armisah
Armisah
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bermain 'wayang' secara berlebihan bakal menyusahkan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Ketua Srikandi Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Armisah Abd Garan berkata, perbuatan sedemikian hanya untuk mengalih tumpuan kegagalan beliau dalam mentadbir kerajaan negeri.

"Muhammad Sanusi dilihat terlalu berdrama tentang hubungannya dengan kerajaan Persekutuan selain sering melemparkan fitnah seolah beliau ditindas kerajaan pusat.

"Saya berpandangan drama yang beliau cuba mainkan sekadar bahan konten TikTok untuk kegunaan pejuang maya mereka.

"Malah boleh dilihat kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini hanyalah sindiran tanpa isi dan fakta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai menteri besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

Pada Mac lepas, Muhammad Sanusi memaklumkan terdapat arahan bertulis daripada kabinet yang melarang kehadiran beliau dalam sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Sementara itu, Armisah berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri pada Sabtu telah menyambut serta mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang program beliau di Terengganu.

Menurutnya, dalam hantaran di laman rasmi Facebook Ahmad Samsuri, beliau berkata, hubungan kerajaan Terengganu dan kerajaan Persekutuan semakin erat selain kehadiran Perdana Menteri menunjukkan gambaran komitmen semangat hubungan pro-aktif antara kedua kerajaan berkenaan.

"Tidak terkecuali juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang hadir sendiri bertemu Perdana Menteri sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, Armisah mendakwa sehingga kini Muhammad Sanusi masih mencipta propaganda bahawa beliau dianiaya termasuk tuduhan menggugurkan beliau dari Majlis Kewangan Negara.

Tambahnya, walaupun mengikut Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan hanya Sultan Kedah boleh menggugurkan beliau.

Justeru, Armisah turut mendakwa tuduhan daripada Muhammad Sanusi seolah merendahkan kreadibiliti dan martabat Sultan Kedah malah lebih teruk menteri besar itu tidak mampu menunjukkan bukti bahawa beliau cuba disingkirkan melainkan hanya tuduhan tanpa asas.

"Tindakan ini jelas memperlekeh kuasa Sultan dan raja dalam membuat keputusan," ujarnya.

Jelas Armisah, keceluparan Muhammad Sanusi juga kurang disenangi ramai penyokong PN selain mereka melihat perangai beliau sangat memalukan sebagai seorang yang berstatus menteri besar.