Jaga aspek kebersihan sepanjang Ramadan

Zaini (tiga dari kiri) ketika merasmikan program terbabit di Peralla hari ini.
Zaini (tiga dari kiri) ketika merasmikan program terbabit di Peralla hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Peniaga dan pengendali makanan di bazar Ramadan perlu mementingkan aspek kebersihan bagi mengelakkan keracunan makanan kepada pengguna.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, pada bulan berkenaan (Ramadan) ramai peniaga-peniaga baharu yang muncul menjual pelbagai juadah dan makanan untuk berbuka puasa.

"Kita juga telah kenal pasti lokasi bazar Ramadan dan turut meminta peniaga mendapatkan suntikan di klinik-klinik kesihatan terdekat.

"Dalam memastikan kebersihan di lokasi bazar Ramadan, kita turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan seperti sebelum ini,bagi melakukan pemeriksan di kawasan perniagaan bazar itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Program Komuniti Pakar Perubatan Keluarga 'Menyantuni Komuniti Kampung Peralla' di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Hospital Tanah Merah, Dr Mohd Nasir Ab Kadir.

Dalam perkembangan yang sama, Zaini berkata, pengendali makanan juga perlu peka dengan keadaan sekeliling dalam usaha mengelakkan kejadian tidak diingini dan pengguna menanggung nasib malang jika tersalah pilih gerai yang kotor.

"Pengguna juga perlu pandai memilih gerai yang bersih dan jika mengesan penyediaan makanan tidak memuaskan boleh laporkan kepada pihak jabatan kesihatan untuk tindakan susulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zaini berkata rakyat di Kelantan juga semakin sedar bahawa suntikan vaksin penting dalam usaha mengelakkan pelbagai penyakit sejak awal usia lagi.

"Mungkin ada di antara pihak yang masih percaya pada rawatan tradisional namun peratusan itu hanya sedikit sahaja dan tidak membimbangkan.

"Kita sentiasa adakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat dalam usaha menyampaikan maklumat berhubung isu kesihatan bagi memastikan rakyat mementingkan kesihatan secara optimum," katanya.