Gabungan Masjid Wilayah Jengka bantu komuniti Islam di Kemboja

Razak (kanan) menyerahkan sumbangan Gabungan Masjid Wilayah Jengka terhadap Zulkarnain di Jengka pada Ahad.
Razak (kanan) menyerahkan sumbangan Gabungan Masjid Wilayah Jengka terhadap Zulkarnain di Jengka pada Ahad.
A
A
A

JENGKA - Nasib masyarakat Islam di Kemboja turut mendapat perhatian Gabungan Masjid Wilayah Jengka di sini yang berjaya mengutip jumlah keseluruhan sumbangan peneroka bernilai RM27,000 setakat ini menerusi program Misi Wakaf Telaga.

Pengerusi gabungan, Razak Daud berkata, sumbangan itu bagi membina telaga untuk menyediakan bekalan air bersih selain keperluan lain seperti lampu solar untuk masjid buat komuniti Islam di negara terbabit.

Menurutnya, kutipan tersebut dilancarkan sebelum Ramadan dan akan diteruskan sehingga Ogos depan.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu komuniti Islam di sana yang berdepan banyak kesukaran dalam kehidupan seharian.

"Selain duit, kita juga mengalu-alukan sumbangan pakaian sama ada baharu atau terpakai yang masih elok untuk dibawa ke sana pada September depan bagi melihat sendiri perkembangan projek telaga tersebut," kata beliau.

Beliau berkata sedemikian sempena penyerahan sumbangan kepada wakil imam dari Kemboja, Zulkarnain Husen di sini pada Ahad.

Ujar Razak, menerusi program tersebut beliau berharap lebih ramai masjid wilayah tersebut menyertai program itu sekali gus lebih banyak telaga dapat dibina demi keperluan komuniti Islam di Kemboja.

"Ini antara usaha Gabungan Masjid Wilayah Kemboja selain kebajikan penduduk di wilayah ini yang tetap menjadi keutamaan kita," tambah beliau lagi.