Kemalangan maut: Pemandu lori larikan diri sudah ditahan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemandu lori yang melarikan diri selepas terlibat dalam nahas mengorbankan dua nyawa di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini, Mac lepas telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka pada Jumaat.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku telah menyebabkan kemalangan tersebut ketika membuat pusingan U di lokasi kejadian pada 29 Mac lalu.

"Suspek didapati telah menghantar notis berhenti kerja 24 jam kepada majikannya, sehari selepas kejadian itu.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Lori tangki yang terlibat dalam kejadian itu telah dirampas di Kerling Selangor.
Lori tangki yang terlibat dalam kejadian itu telah dirampas di Kerling Selangor.

Beliau berkata, lori tangki yang terlibat dalam kejadian itu telah dirampas di Kerling Selangor.

Katanya, pemeriksaan menemui kesan bengkok dan cat tertanggal pada penghadang besi sebelah kanan bahagian tengah lori itu.

"Lelaki itu telah direman sehingga 17 April ini bagi membantu siasatan.

"Polis merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap," katanya.

Kejadian sekitar jam 11.18 malam itu telah mengorbankan Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan sepupunya, Nur Nabila Rosdi, 19.

Kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ditunggangi mereka dalam perjalanan dari Ulu Bernam menuju ke Slim River tidak sempat mengelak sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U.