Dua remaja maut, polis kesan pemandu lori buat pusingan U

Motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa remuk selepas terbabit dalam nahas di Tanjung Malim pada malam Rabu. - Foto Ihsan PDRM
Motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa remuk selepas terbabit dalam nahas di Tanjung Malim pada malam Rabu. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 11.18 malam itu telah mengorbankan mangsa, Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan pemboncengnya, Nur Nabila Rosdi, 19.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dalam perjalanan dari Ulu Bernam menuju ke Slim River.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, disyaki terdapat sebuah lori tangki dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti telah membuat pusingan U.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan berat terbabit," katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat digilis.

"Pembonceng turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan pemandu lori terlibat," katanya.

Kata Mohd Hasni, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.