YAKEK bantu ringan beban anak yatim, golongan susah

Muhamad Amin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Iftar Ramadan di sebuah hotel pada Jumaat.
Muhamad Amin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Iftar Ramadan di sebuah hotel pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Kebajikan Kanak-kanak (YAKEK) memperuntukkan kira-kira RM200,000 bagi menyantuni anak yatim dan golongan kurang berkemampuan setiap tahun.

Pengasasnya, Muhamad Amin Fahmi Solahuddin berkata, peruntukan itu dibelanjakan kepada dua golongan itu bagi meringankan beban selain menambahkan keceriaan kepada mereka terutama untuk menyambut Ramadan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tahun antaranya program kembali ke sekolah, iftar Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

"Fokus utama YAKEK untuk memastikan segala kebajikan golongan ini terus terbela dan tidak terabai," katanya pada Majlis Iftar Ramadan di sebuah hotel pada Jumaat.

Seramai 80 anak yatim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 Subang Perdana dan SK Seksyen 7, Shah Alam diraikan pada majlis berkenaan.

Muhamad Amin berkata, usaha mengumpul dana itu dilakukan secara kolaboratif dengan syarikat korporat, swasta dan individu yang prihatin dengan nasib golongan itu.

"Misalnya (Program Iftar Ramadan), kita mendapat kerjasama penuh daripada GMA Resources Sdn Bhd; Revotech Sdn Bhd, Nadi Emery Sdn Bhd; PS Food and Beverage Sdn Bhd; Malaysian International Islamic Chamber of Commerce and Industry (MIICCI)," ujar beliau.

Jelasnya, YAKEK yang ditubuhkan pada 2015 sentiasa berusaha menggerakkan yayasan itu bagi mendekati dan menyelami permasalahan dihadapi golongan itu.

Tambah beliau, program berbentuk kebajikan itu akan diteruskan pada masa akan datang dan berharap lebih ramai pihak yang tampil untuk bersama-sama membantu golongan berkenaan.

"Islam meletakkan golongan anak yatim di tempat sangat istimewa dan memandang tinggi kesusahan dihadapi mereka yang terpaksa melalui proses pembesaran yang sepatutnya dibimbing oleh ibu bapa," kata Muhamad Amin.