Amalan makanan sunnah rahsia Muhammad Ammar
Muhammad Ammar yang memperoleh 11A di samping ibu bapanya, Zaini (kiri) dan Che Hasnah.
A
A
A
Muhammad Ammar Hajmi Mohamad Zaini, 15, mencatatkan keputusan cemerlang, 11A.
Menurutnya, dia mengamalkan memakan kismis, kurma bersama air zam-zam hampir setiap hari.
"Alhamdulillah saya mendapat semua A dalam PT3 dan saya tidak sangka dapat keputusan yang cemerlang ini.
"Saya hanya meletak sasaran 7A sahaja iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik dan Kemahiran Hidup," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pisang, di sini.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, lebih menggembirakan, dia mendapat A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris Lisan yang tidak pernah diperolehnya sebelum ini.
"Saya sangat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang turut membantu saya untuk mendapat keputusan cemerlang ini," katanya.
Ditanya perancangannya selepas ini, Muhammad Ammar berkata, dia mahu kekal di sekolah tersebut dan memilih aliran sains tulen.
Sementara itu, bapanya, Mohammad Zaini Ahmad, 48, berkata, dia sangat bersyukur kerana doanya ketika mengerjakan umrah di Mekah, dimakbulkan.
"Saya pergi umrah 29 November lalu dan sentiasa berdoa agar Ammar mendapat kejayaan seperti hari ini," katanya.
Isterinya, Che Hasnah Che Hussin, 40, turut banyak membantu dengan sentiasa memberi galakan dan membekalkan makanan sunnah kepada anak mereka setiap kali menghantarnya ke asrama.
Katanya, Muhammad Ammar merupakan seorang yang rajin membaca sejak kecil dan turut mendapat keputusan cemerlang, 5A dalam UPSR tiga tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!