Bakal pemilik baharu TRW harus miliki jiwa besar

Laporan Sukan Sinar pada Selasa lalu. Gambar kecil: Effendi
Laporan Sukan Sinar pada Selasa lalu. Gambar kecil: Effendi
A
A
A

INDIVIDU yang berhasrat membeli Kelantan FC tidak hanya memerlukan aliran kewangan kukuh tetapi juga perlu memiliki pengetahuan membangunkan semula sukan paling dekat dengan penduduk Negeri Cik Siti Wan Kembang dalam jangka panjang.

Malah, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah juga tidak menafikan The Red Warriors (TRW) merupakan antara jenama yang telah memiliki pengaruh dalam kalangan komuniti bola sepak negara ini.

“Secara peribadi saya melihat ia merupakan satu perkhabaran baik kepada individu atau pihak yang terlibat dalam industri bola sepak apabila (pemilik Kelantan FC), Norizam (Tukiman) menyatakan kesediaan menjual pegangannya dalam TRW.

“Biarpun kita banyak mendengar pelbagai khabar angin berkenaan Kelantan FC sejak kebelakangan ini, namun itu bukan satu halangan kepada yang berminat untuk meletakkan kembali kelab tersebut di landasannya seperti sebelum ini.

“Market untuk Kelantan FC ini sebenarnya besar dari segi fans base kerana pasukan itu telah lama wujud sebelum penjenamaan semula kepada kelab bola sepak dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada 10 April lalu pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyatakan kesediaannya untuk mengundurkan diri dari mengendalikan TRW sekiranya penyokong pasukan itu merasakan dia tidak layak menjadi pemilik kelab pantai timur berkenaan.

Jelas Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham lagi dalam hantaran di laman Facebooknya, dia terfikir untuk melepaskan saham Kelantan FC kepada individu yang berminat mengendalikan kelab yang berada ditangga ke-13 Liga Super berkenaan.

Effendi Jagan juga mengingatkan individu atau pihak yang berminat membeli Kelantan FC, faktor kekukuhan aliran kewangan perlu sentiasa disokong dengan ilmu bola sepak moden.

Tegasnya, mereka juga perlu memiliki pengalaman atau sanggup belajar ilmu baharu pengurusan kelab bola sepak apabila telah mengambilalih sesebuah kelab.

“Ya, aliran kewangan kukuh penting bagi memastikan operasi kelab berjalan lancar, namun itu bukanlah segala-galanya kerana ia memerlukan sokongan segmen lain.

“Secara jujur untuk mengendali kelab bola sepak ini bukan mudah kerana industri tersebut sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa termasuk aspek kebajikan pemain dan lain-lain.

“Pemilik kelab bola sepak juga tidak hanya mempunyai tanggungjawab sosial terhadap pembangunan sukan itu dalam komuniti persekitarannya, tetapi juga menggalas tanggungjawab menjaga imej negara,” katanya.