Dua kru warga Indonesia tanpa dokumen sah ditahan

Dua kru warga Indonesia serta seorang tekong tempatan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya.
Dua kru warga Indonesia serta seorang tekong tempatan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

KLANG - Dua lelaki warga Indonesia diberkas setelah didapati tidak memiliki sebarang dokumen sah ketika ditahan di sekitar perairan Tanjung Karang di sini pada Khamis.

Kedua-dua suspek ditahan selepas pemeriksaan dijalankan melibatkan sebuah bot nelayan tempatan pada kedudukan 9.5 batu nautika barat daya Tanjung Karang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kedua suspek dipercayai kru bot nelayan tersebut ditahan menerusi pemeriksaan dijalankan pihaknya kira-kira jam 1.09 petang.

"Bot nelayan kelas B1 itu mulanya dikesan bot ronda milik Maritim Malaysia menerusi pemantauan dalam OP Ehsan, OP Tiris dan OP Khas Pagar Laut.

"Bot nelayan itu dikendalikan seorang tekong yang merupakan warga tempatan berumur 65 tahun manakala dua kru warga Indonesia berumur 56 dan 57 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran untuk kedua-dua krunya bekerja di atas bot berkenaan.

Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menjalankan pemeriksaan melibatkan sebuah bot nelayan di sekitar perairan Tanjung Karang pada Khamis.
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menjalankan pemeriksaan melibatkan sebuah bot nelayan di sekitar perairan Tanjung Karang pada Khamis.

"Siasatan mendapati tekong dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,000 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

"Kedua-dua kru warga Indonesia itu pula dibayar RM 60 sehari untuk bekerja di bot berkenaan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui kira-kira 20 kilogram pelbagai jenis ikan.

"Tekong, kru dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.