665.3 metrik tan ikan tuna dibawa masuk

665.3 metrik tan ikan tuna dibawa masuk melalui Pelabuhan DAD pada tahun lalu.
665.3 metrik tan ikan tuna dibawa masuk melalui Pelabuhan DAD pada tahun lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 665.3 metrik tan ikan tuna direkodkan dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), di sini sepanjang tahun lalu.

Manakala sehingga Mac lepas sebanyak 51.8 metrik tan ikan tuna telah diimport ke dalam negara menerusi pelabuhan sama pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Maqis mendapati kesemua hasil tangkapan dibawa masuk daripada Perairan Lautan Hindi itu mematuhi aspek yang ditetapkan kerajaan.

"Maqis bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti pemeriksaan terhadap dagangan ikan tuna yang dibawa masuk daripada Perairan Lautan Hindi.

"Tatacara pemeriksaan yang teliti telah dilakukan bagi dagangan ini sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara bagi memastikan aspek kualiti terpelihara dan terhindar dari sebarang ancaman biosekuriti," katanya menerusi kenyataan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab sebagai benteng utama menjaga keterjaminan bekalan makanan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

Bagi memastikan tanggungjawab itu terus diperkasa, beliau berkata, Maqis akan terus mengetatkan penguatkuasaan undang-undang negara iaitu melalui Akta Maqis 728.

"Fokus kami selari dengan hasrat Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memberi tumpuan utama terhadap keterjaminan sekuriti makanan kepada negara.

"Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di pintu sempadan perairan negara bagi memastikan komoditi keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk menjamin kualiti serta keselamatan makanan," katanya.