Ancaman gempa bumi, adakah kita bersedia?

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MINGGU lalu, negara kita dilaporkan terkena tempias gegaran gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia.

Impaknya dapat dirasakan selama beberapa saat di beberapa buah negeri iaitu Perak, Selangor, Putrajaya, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Tempias gempa itu juga menyebabkan penduduk Rumah Pangsa Pudu Impian 1 di Kuala Lumpur bergegas keluar dari kediaman masing-masing selepas merasa gegaran pada jam 10.59 malam.

Biarpun impak gegaran itu tidak menjejaskan infrastruktur dan mencederakan orang awam namun ia telah mencetuskan kebimbangan.

Tambahan pula, impak gegaran seperti itu bukanlah kali pertama dirasai oleh rakyat di negara ini, malah ia telah dilaporkan berulang kali.

Situasi tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sama ada negara kita bebas daripada ancaman gempa bumi atau sebaliknya.

Memetik laporan Sinar Premium, Malaysia semakin mengalami ancaman bahaya gempa berikutan epicenter atau pusat gempa yang berlaku berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.

Laporan tersebut juga menekankan, kerap kali negara merasai kesan gegaran kerana garis-garis sesar aktif yang menghasilkan banyak gempa bumi berada di Indonesia terutamanya dari Sumatera dan Filipina.

Perkara tersebut terbukti apabila lebih 20 gempa bumi dikesan di Sarawak sejak 1970 manakala lebih 65 gempa bumi direkodkan di Sabah sejak 1900, menurut laporan United States Geological Survey.

Salah satunya ialah gempa bumi berukuran 6 magnitud yang menggegar Ranau, Sabah pada 2015 sehingga mengorbankan 18 orang.

Malah, terdapat juga bukti gempa bumi tempatan direkodkan berlaku di Semenanjung melibatkan kawasan seperti Bukit Tinggi, Manjung dan Kuala Pilah, kata bekas Pensyarah Geologi Struktur dan Tetonik, Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib.

Sebanyak 31 gegaran bermagnitud rendah telah direkodkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) dari 2007 hingga 2015, katanya.

Berdasarkan maklumat diberikan itu, jelas sekali Malaysia nampaknya tidak terkecuali daripada gegaran gempa bumi.

Mitos

Dakwaan yang mengatakan negara kita bebas daripada ancaman gempa bumi kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik hanyalah mitos.

Hakikatnya, bumi dipijak ini juga berada dalam kategori tidak selamat kerana boleh bergegar pada bila-bila masa sahaja tanpa membawa sebarang amaran.

Apa yang penulis ketengahkan ini bukanlah bertujuan mencetuskan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam, sebaliknya ia merupakan peringatan agar kita semua tidak leka.

Ini kerana gempa bumi boleh menggegar negara kita sebagaimana yang yang melanda Turkiye, Jepun dan Indonesia dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, pakar melihat rantau Asia Tenggara berisiko mengalami gempa bumi berskala besar.

Oleh yang demikian, terdapat asas yang kuat untuk rakyat di negara ini merasa bimbang dengan ancaman gempa bumi di Malaysia.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia dengan kehadiran bencana alam itu? Mampukah kita mendepaninya apabila ia benar-benar menggegar negara kita nanti?

Penulis percaya, ramai masih tidak bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan gempa bumi menggegarkan Malaysia kerana gegaran berskala besar belum pernah tercetus kecuali di Sabah.

Sekiranya ia benar-benar berlaku, tentu ramai yang akan diserang panik kerana tidak pernah berdepan dengan situasi menakutkan itu.

Justeru, penting untuk kita melakukan persediaan dengan menimba ilmu asas berhubung langkah-langkah keselamatan yang boleh mengurangkan kesan bahaya.

Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu dilakukan jika gempa bumi benar-benar menggegar negara kita suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, beberapa langkah keselamatan seperti yang dicadangkan oleh MET Malaysia boleh diambil bagi mendepani ancaman gempa bumi.

Ia melibatkan tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas.

Sebelum berlaku gegaran, orang ramai dinasihatkan menyediakan beg kecemasan yang mudah dicapai dan dokumen penting berkaitan.

Semasa gegaran berlaku, mereka dinasihatkan supaya tunduk, berlindung dan bertahan atau melakukan pengungsian bagi meningkatkan keselamatan.

Sebaik sahaja gempa bumi berakhir, dapatkan segera pemeriksaan kesihatan dan baik pulih kerosakan yang berlaku.

Dalam pada itu, orang ramai juga digalakkan supaya mengikuti perkembangan semasa keadaan gempa yang dikeluarkan oleh MET Malaysia dari semasa ke semasa.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah wartawan Sinar Premium.