Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu susulan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu susut menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.4065/4120 berbanding dolar AS daripada 4.4160/4210 ketika ditutup pada Selasa.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berkata, ringgit telah meningkat sedikit pada Rabu apabila dolar AS merosot disebabkan tumpuan terhadap data IHP AS malam ini.

"Tetapi dengan pelabur mengiktiraf bahawa pertumbuhan dan inflasi berkemungkinan bergerak perlahan untuk sepanjang tahun ini, kami berpendapat sebarang peningkatan dolar US akibat inflasi dijangka akan berakhr.

"Rizab Persekutuan (Fed) perlu menangani kejutan pertumbuhan perlahan akibat penetapan pinjaman yang lebih ketat akibat krisis beberapa bank di AS,” katanya kepada Bernama.

Berbeza dengan Fed, Innes berkata, People's Bank of China tidak menghadapi mana-mana halangan ini, membenarkan penggubal dasar menumpukan pada dasar propertumbuhan domestik apabila bertindak balas terhadap kejutan luaran.

"Lebih banyak rangsangan terutamanya ditujukan kepada pembangunan infrastruktur di China akan menguntungkan eksport Malaysia oleh itu ringgit,” katanya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mencatatkan prestasi baik pada Rabu, mencatat RM4.409 sebelum berlegar sekitar RM4.413.

"Indeks dolar AS jatuh kepada 102.016 daripada penutupan semalam sebanyak 102.204 mata. Nampaknya pasaran kini menunggu data IHP AS dengan IHP teras dijangka masuk pada 0.4 peratus bulan ke bulan pada bulan Mac daripada 0.5 peratus sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.8159/8219 daripada 4.8196/8251 ketika ditutup pada Selasa, melonjak berbandin pound Britain kepada 5.4716/4784 daripada 5.4939/5002 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2943/2987 daripada 3.3173/3216 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 7.98/7.99 daripada 8.04/8.06 ketika ditutup pada Selasa dan naik berbanding dolar Singapura pada 3.3104/3150 daripada 3.3156/3196 semalam.

Ia bertambah berbanding rupiah Indonesia pada 296.0/296.6 daripada 296.6/297.10 pada Selasa dan mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.8657/8874 daripada 12.8998/9193 sebelumnya. - Bernama