'Surat untuk singkirkan saya memang wujud' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar ke pejabat Sultan Kedah berhubung cubaan untuk menyingkirkan beliau dalam Majlis Kewangan Negara.

Beliau berkata, ia bukan cerita yang direka namun dibuktikan dengan kehadiran surat berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi tidak berhasrat untuk mendedahkan surat berkenaan buat masa ini.

“Apa yang mereka buat saya tahu, semuanya sampai ke pengetahuan saya. Mereka hantar surat kepada pejabat Tuanku Sultan Kedah untuk melobi supaya menukar ahli Majlis Kewangan Negara. Saya tahu sebab surat itu memang ada,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai Menteri Besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah (SUK), Datuk Norizan Khazali sebagai pengganti.

Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu yang diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

Muhammad Sanusi tegaskan, gerakan terbabit benar-benar berlaku dan ia bukan lakonan seperti didakwa beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Mereka hantar surat, sebab itu saya bercakap tentang itu, tetapi mereka pula kata saya buat drama. Mereka buat seolah saya tak tahu apa-apa.

“Saya ni Menteri Besar, surat yang masuk ke Wisma Darul Aman, saya tahu sebab saya berkawan dengan semua orang. Perkara yang saya cakap, saya tahu segalanya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, perkara itu didedahkan supaya apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan.

“Hasrat saya jangan bagi perkara itu berlaku. Saya bukan cari gaduh. Kalau saya dedah surat tersebut bermakna saya nak confront, bukan itu tujuan saya. Saya cuma mahu halang ia berlaku.

“Cukuplah setakat ini. Benda dah ada, tak payah lah pergi ke penghujung lagi. Ini separuh masa pertama, tiup wisel kita masuk separuh masa kedua, ikut satu persatu. Kan nak game sangat,” katanya sinis.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan pemimpin PH agar bersikap seperti pemimpin kerajaan dan bukan lagi berfikiran seperti pembangkang.

“Dah jadi Perdana Menteri, menteri, pegawai di pejabat PMO, kenalah guna bahasa pentadbiran, bukan lagi bahasa politik yang sesuai untuk program parti. Mereka ada fungsi yang besar, jangan ambil tindakan politik kepada kerajaan negeri lain dan hormatilah ia sebagai kerajaan negeri berdaulat,” ujarnya.