Sukan SEA: Pembawa Jalur Gemilang diketahui minggu depan

Mohd Nasir - Foto Bernama
Mohd Nasir - Foto Bernama
A
A
A

TEKA-TEKI mengenai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan SEA Kemboja Mei ini bakal terjawab minggu depan.

Ketua Kontinjen negara (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali berkata, seramai tujuh calon sudah dikenal pasti dan mereka terdiri daripada lima atlet lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, calon-calon merupakan atlet yang pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA, malah ada dalam kalangan mereka pernah meraih pingat di Sukan Komanwel.

"Kita akan umum menjelang bulan ini atau mungkin minggu depan sebelum majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama pengurus pasukan Sukan SEA di Wisma OCM, Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib.

Turut hadir, Timbalan CDM, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Menurut Mohd Nasir, pemilihan calon akan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

"Ia (pemilihan) berdasarkan kepada pencapaian yang pernah diraih atlet pada temasya sukan sebelum ini," katanya.

Pada Sukan SEA di Hanoi tahun lalu, pembawa Jalur Gemilang ialah penerjun, Nur Dhabitah Sabri, manakala temasya di Manila pada 2019, tugas itu digalas oleh pemain boling, Muhammad Rafiq Ismail.