[VIDEO] Suami pukul isteri sehingga maut didakwa

Tertuduh (kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Dungun pada Rabu atas dakwaan menyebabkan kematian isterinya dalam kejadian pada 5 April lalu.
Tertuduh (kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Dungun pada Rabu atas dakwaan menyebabkan kematian isterinya dalam kejadian pada 5 April lalu.
A
A
A

DUNGUN - Seorang tukang rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan membunuh isterinya dalam kejadian pada 5 April lalu.

Tertuduh, Mohd Amir Hamzah, 32, yang berpakaian lokap bewarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian isterinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 7.30 pagi hingga jam 8 pagi di rumahnya di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pada 5 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika didapati bersalah.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 13 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menerima laporan kimia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Athirah Hashim manakala tertuduh diwakili peguan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

Pada 5 April lalu, seorang wanita maut disyaki dipukul suaminya menggunakan tukul besi dipercayai akibat perselisihan faham dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa, Rubiah Sabtu, 41, pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Difahamkan, ketika kejadian hanya pasangan suami isteri itu serta seorang bayi perempuan mereka berusia tiga bulan berada di rumah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian muka dan kepala.

Sebelum ini polis telah menahan reman lelaki berkenaan selama tujuh hari bagi membantu siasatan.