Penganggur bunuh anak kekasih dihukum gantung

Penganggur bunuh anak kekasih ke tali gantung.
Penganggur bunuh anak kekasih ke tali gantung.
A
A
A

SHAH ALAM - Padah membunuh anak kekasih yang berusia 19 bulan tiga tahun lalu, seorang penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Aizat Abdullah Othman, 25, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Dalam ringkasan penghakimannya, beliau berkata, mahkamah mendapati wujudnya keraguan daripada keterangan tertuduh sendiri dan ia adalah tidak kredibel.

Menurutnya, keterangan saksi ke-24 iaitu saksi kanak-kanak adalah jujur walaupun ketika kejadian dia berumur lima tahun.

"Dia menceritakan perihal yang menimpa adiknya. Tertuduh telah menumbuk perut, membaling si mati ke dinding dan mengikat si mati dengan getah paip," katanya.

Beliau berkata, walaupun keterangan itu datangnya daripada kanak-kanak, ia adalah benar.

"Ia meyakinkan mahkamah perbuatan zalim dan terkutuk tertuduh terhadap si mati," katanya.

Abdul Halim berkata, mahkamah mendapati keterangan Aizat Abdullah adalah penafian dan difikir semula (afterthought).

Artikel Berkaitan:

"Saksi-saksi pembelaan iaitu teman wanita dan rakan sekampung tertuduh adalah saksi berkepentingan.

"Dengan ini saya memerintah tertuduh digantung di leher sampai mati," katanya.

Sepanjang prosiding bermula 20 Mac 2018, sebanyak 71 eksibit dikemukakan serta seramai 26 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan.

Aizat Abdullah didapati bersalah membunuh Hannah Sufiyah Muhammad Adib berusia setahun tujuh bulan di rumah sewa ibu kanak-kanak terbabit di Apartmen Teratai, Jalan Putra Perdana, Puchong, antara jam 8 pagi hingga 2 petang pada 31 Mac 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan R Puspharasi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Aizat Abdullah diwakili peguam, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Sebelum ini, media melaporkan Hannah Sufiyah meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di kepala dan beberapa kesan dera di badan akibat dihempas ke lantai di rumah tersebut.

Lelaki itu diberkas polis sebaik sahaja bedah siasat selesai dilakukan manakala ibu mangsa yang bertugas di Jabatan Imigresen pula ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Selangor ketika cuba membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.