Mahasiswa lebih bebas selepas pindaan AUKU

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU lepas Dewan Zaaba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedikit kecoh apabila sesi town hall berlangsung membincangkan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Masing-masing terutama mahasiswa tidak mahu melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan kerana sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim pernah mengumumkan ingin memansuhkan AUKU.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan, AUKU tidak akan dimansuhkan malah akan dipinda dengan memberi penambahbaikan mengikut kehendak semasa.

Pada 6 April lalu, KPT bersetuju membuat pindaan ke atas beberapa seksyen dalam AUKU mengikut keadaan serta kehendak pemegang taruh.

Walaupun sebelum ini AUKU sudah dipinda sebanyak tujuh kali dengan pindaan terakhir pada 2019 bagi memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik sama ada di dalam mahupun di luar kampus, tetapi kali ini ia menjurus kepada soal pelajar untuk mengawal aktiviti dan kewangan persatuan masing-masing.

Yang jelas sesi town hall tersebut akan teruskan pindaan mengenai pelajar dan menurut Mohamed Khaled, seksyen-seksyen yang banyak telah pun dipinda dan kini berada di fasa terakhir.

Daripada persoalan, perbahasan, pandangan dan cadangan yang dibangkitkan, KPT membenarkan pelajar menentukan jenis aktiviti yang hendak dilakukan dan mahasiswa perlu mengawal atau bertanggungjawab mengurus kewangan persatuan.

Pastinya menjadi harapan, walaupun mahasiswa diberi kebebasan memilih pemimpin dan menentukan apa sahaja, ini tidak bermakna mereka akan dapat segala-galanya.

Dalam hal ini, mahasiswa tentukan bagaimana panduan dan peraturan untuk pastikan pemimpin mereka menggunakan duit dengan betul dan mengurusnya dengan adil untuk semua persatuan pelajar yang terdapat dalam universiti masing-masing.

Juga pastinya menjadi harapan kementerian dan juga masyarakat agar sekiranya mahasiswa mempunyai masalah, berunding dan berbincanglah dengan pihak universiti.

Jangan ambil pendekatan penentangan kepada pihak universiti dan pihak yang ada kuasa dalam universiti kerana ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Jadi ingatkan mahasiswa di luar sana, kini dengan kebebasan yang diberikan diharapkan agar anda semua belajar untuk lebih bertanggungjawab.