'Tolonglah pulangkan beg silang mengandungi RM20,000'

Siti Izrahayu menunjukkan gambar beg silang suaminya berwarna hitam dan salinan laporan polis yang dibuat pada Ahad.
Siti Izrahayu menunjukkan gambar beg silang suaminya berwarna hitam dan salinan laporan polis yang dibuat pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita merayu individu yang menjumpai beg silang suaminya mengandungi wang tunai berjumlah RM20,000 supaya memulangkannya semula kepada mereka.

Peniaga ayam, Siti Izrahayu Mohd Zamri, 33, berkata, suaminya, Saiful Naim Basri, 33, hanya menyedari beg silang berwarna hitam bertulisan Puma itu tiada bersamanya pada jam 10.15 pagi Ahad, selepas pulang ke rumah di Taman Tanjung Minyak.

Menurutnya, kebiasaan suaminya akan membawa beg itu bersama ketika membuat penghantaran ayam yang telah diproses kepada pelanggan sekitar kawasan Cheng Tanjung Minyak dan Bukit Rambai dengan menaiki kereta.

Katanya, sebelum pulang ke rumah, suaminya singgah ke tempat pembuangan sampah untuk membuang sisa-sisa ayam.

"Apabila suami tiba di rumah saya bertanyakan tentang beg silang yang selalu dibawa.

"Ia gagal ditemui selepas kami melakukan pencarian dalam kenderaan dan rumah. Kami segera keluar mencari di tempat pembuangan sampah dan laluan digunakan namun tidak menemuinya," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Tambahnya, apa yang dikesalkan bukan sahaja wang tunai mencecah puluhan ribuan ringgit itu, namun lebih penting dokumen peribadi di dalam beg tersebut.

"Tolonglah saya merayu sesiapa sahaja yang menjumpainya agar menghubungi saya di talian 013-7962030 untuk memulangkan beg berkenaan," katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak kira-kira jam 1.20 petang pada hari sama.