Bebanan hutang punca isteri maut dipukul suami

Seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pada Rabu. (Gambar kecil: Baharudin)
Seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini pada Rabu. (Gambar kecil: Baharudin)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengenal pasti masalah kewangan dan bebanan hutang antara punca seorang isteri maut dipercayai dipukul suaminya menggunakan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi di Dungun Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ia susulan siasatan awal yang dijalankan selepas pihak polis menahan reman suami wanita berkenaan sehari selepas kejadian.

"Kes ini masih dalam siasatan dan suspek masih lagi ditahan reman. Setakat ini pihak polis mengenal pasti kejadian tersebut berpunca daripada masalah kewangan yang dialami keluarga ini termasuk bebanan hutang yang perlu dijelaskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Isnin.

Beliau memberitahu, suspek berusia 32 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata, tempoh reman suspek yang sepatutnya berakhir pada Rabu ini dijangka akan disambung.

"Kita tengok (dulu) Rabu ni..mungkin sambung," katanya.

Khamis lalu, seorang tukang rumah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan isterinya Rubiah Sabtu, 41.

Perintah tahanan reman ke atas suspek dikeluarkan oleh Majistret Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Dungun bermula Khamis (6 April) sehingga Rabu (12 April).

Rabu lalu, seorang wanita maut disyaki dipukul suaminya menggunakan tukul besi dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi.

Mangsa yang dikatakan baru pulang dari menghantar anaknya ke sekolah disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian muka dan kepala.