Buruh binaan disyaki bunuh isteri guna tukul direman

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.42 pagi dengan diiringi anggota polis. - Foto Bernama
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.42 pagi dengan diiringi anggota polis. - Foto Bernama
A
A
A
DUNGUN - Seorang buruh binaan direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 12 April, bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya dengan tukul besi di Bukit Besi dekat sini, pagi semalam.



Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Dungun bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.42 pagi dengan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Besol di Bukit Besi, selepas dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suspek yang dikahwininya tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendah Baharudin Abdullah dilapor berkata, kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang berusia 30-an sehingga membawa kepada tragedi berkenaan.

Mangsa memiliki lapan anak iaitu tujuh orang hasil perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan suspek. - Bernama