Lelaki pecahkan cermin kereta jiran akibat hilang kerja

Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin kereta jirannya itu di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor, pada Khamis lepas. - Foto FB NurJannah Sabaruddin
Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin kereta jirannya itu di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor, pada Khamis lepas. - Foto FB NurJannah Sabaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat mengalami tekanan kerana hilang pekerjaan dan mendakwa jiran sering membuat bising, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin kereta jirannya itu di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor, pada Khamis lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pengadu seorang wanita yang juga jirannya berkata, lelaki terbabit telah melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan kesemua cermin keretanya, pada jam 5 petang.

"Selepas kejadian, lelaki itu berjaya ditahan dan polis merampas sebatang kayu yang digunakan suspek ketika kejadian.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian ini berlaku disebabkan lelaki itu mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan dan melepaskan geram kerana rumah pengadu selalu membuat bising.

"Suspek tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, lelaki itu telah dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah, Shah Alam.

"Suspek mengaku salah terhadap pertuduhan dan hukuman denda mahkamah sebanyak RM3,300.

"Suspek gagal membayar denda mahkamah dan sedang ditahan di Penjara Kajang bagi menjalankan hukuman penjara selama enam bulan," ujarnya. - Awani