Pengampunan Najib: UMNO harap ada khabar baik

Ahmad Maslan (kiri). Petisyen 'Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja' di platform change.org.
Ahmad Maslan (kiri). Petisyen 'Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja' di platform change.org.
A
A
A

SHAH ALAM - ‘Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan’ mencecah hampir 140,000 tandatangan berbanding petisyen ‘Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja’ yang merekodkan 9,150 tandatangan.

‘Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan’ digerakkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), manakala ‘Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja’ pula digerakkan individu bernama Ariff Lias melalui platform change.org.

Tinjauan Sinar Ahad di laman berkenaan hingga jam 4.30 petang mendapati, jumlah tandatangan bagi ‘Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan’ mencatat 139,198 tandatangan.

Perkembangan itu sekali gus menghampiri sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 150,000 tandatangan sejak dilancarkan pada Sabtu.

Kedua-dua petisyen tersebut memberi penjelasan tersendiri berhubung Pengampuan Diraja berkenaan.

Antara isu yang disentuh dalam petisyen yang membantah pengampunan itu adalah berhubung kesan rasuah yang memberi kesengsaraan dan perasaan malu bagi rakyat.

Manakala, petisyen yang memohon pengampunan pula mengulas isu berhubung ketidakadilan perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepincangan sistem kehakiman yang serius dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Mesyuarat Ahli Lembaga Pengampunan Diraja pada 28 April ini memberi khabar baik kepada bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Katanya, berdasarkan keputusan MKT pada Jumaat, ketetapan telah dibuat untuk merayu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perkara itu telah mendapat sokongan setiap ahli UMNO termasuk peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ahli MKT akan mengutus surat memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, diketuai Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasrat bukan hanya daripada MKT tetapi keseluruhan melibatkan Pemuda, Puteri dan Wanita memohon perkenan pengampunan diraja,” katanya selepas menghadiri program memasak bubur lambuk Kawasan Rukun Tetangga Ayer Baloi, Pontian, Johor pada Sabtu.