PRN Sabah: UMNO Sabah sedia bekerjasama mana-mana parti

Bung Moktar dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu.
Bung Moktar dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah akan mempertimbangkan mana-mana parti untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu akan dibincangkan nanti menerusi mesyuarat biro politik bagi mengkaji dengan siapa parti itu akan bekerjasama.

"Kami akan mengadakan mesyuarat biro politik untuk kita mengkaji siapa rakan kita dalam pilihan raya akan datang nanti sebab perkara ini perlu dibincang.

"Rakan ini bermakna yang boleh membawa impak kemenangan membantu kita menang dalam pilihan raya di Sabah. Kita akan pertimbangkan bukan hanya Parti Warisan (Warisan), mana-mana parti yang membawa kemenangan bersama, kita akan pertimbangkan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di bangunan UMNO, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai siapa rakan kerjasama UMNO Sabah untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah dalam pilihan raya nanti.



Ditanya mengenai kerjasama antara kepimpinan baharu UMNO Sabah termasuk dengan timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, beliau yakin kombinasi itu akan memberi pemangkin yang lebih baik untuk memastikan UMNO Sabah menjadikan UMNO releven di negeri ini.

"Datuk Abdul Rahman ini nama saja baru tetapi dia sudah lama dalam parti dan saya cukup yakin kombinasi antara saya dan beliau akan memberi pemangkin yang lebih baik sebab kami dua ini berpengalaman di negeri dan peringkat nasional.

"Jadi kombinasi ini, kita akan guna pakai kepakaran kami dua bagi memastikan UMNO Sabah akan terus mendapat perhatian rakyat," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, secara peribadi beliau tiada masalah dalam kepimpinan berkenaan.

"Saya melihat kita perlukan kekuatan semua pihak, Datuk Seri Bung Moktar adalah seorang pemimpin yang sudah lama, tidak ada masalah antara kami semua. Kami ingin mencurahkan perkhidmatan kepada parti dengan satu harapan saja iaitu UMNO Sabah akan kembali menjadi parti teras dalam kerajaan Sabah," katanya.