Kelantan United waspada ancaman Sri Pahang FC

Nazrulerwan mahu barisan pemainnya waspada berdepan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Foto: Kelantan United FC
Nazrulerwan mahu barisan pemainnya waspada berdepan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Foto: Kelantan United FC
A
A
A

KELANTAN United selesa mengambil pendekatan berwaspada berdepan ancaman Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Isnin

Penolong jurulatihnya, Nazrulerwan Makmor berkata, hal ini kerana tuan rumah merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap dengan barisan pemain tempatan dan import yang berkualiti.

"Melihat kepada kekuatan lawan, saya mahu barisan pemain berwaspada dengan corak permainan Sri Pahang FC bagi mengelakkan mereka pulang dengan tangan kosong.

"Tiada rombakan besar-besaran dalam senarai, namun kami ada buat pengiliran pemain kerana jadual liga yang sangat padat sepanjang Ramadan selain terpaksa beraksi di luar Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, beliau menuntut pemain Kelantan United tidak memberikan ruang kepada beberapa tonggak utama Sri Pahang seperti Kpah Sherman, Azam Azih, Sergio Aguero serta Baqiuddin.

Ujarnya, pemain ini mampu memberi masalah kepada Kelantan United jika diberikan ruang untuk mereka bergerak bebas pada perlawanan itu nanti.

Nazrulerwan memberitahu, barisan pemain diharap dapat berjuang sehingga ke keringat terakhir untuk menafikan kemenangan pasukan kendalian Fandi Ahmad di hadapan penyokong sendiri.

"Kami hadir ke Darul Makmur sebagai pasukan bukan pilihan tetapi tetap bertekad mencuri mata.

"Tekad kami mahu memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super," katanya.