UMNO harap mesyuarat pengampunan diraja beri khabar baik

Ahmad (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk bersama rukun tetangga di Ayer Baloi pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk bersama rukun tetangga di Ayer Baloi pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Mesyuarat Ahli Lembaga Pengampunan Diraja pada 28 April ini diharap memberi khabar baik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan MKT pada Jumaat, ketetapan telah dibuat untuk merayu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, perkara tersebut telah mendapat sokongan daripada setiap ahli UMNO termasuk peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Ahli MKT akan mengutus surat memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, diketuai Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan hasrat bukan hanya dari MKT tetapi keseluruhan melibatkan Pemuda, Puteri dan Wanita memohon perkenan pengampunan diraja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program memasak bubur lambuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ayer Baloi di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MT UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan Najib daripada Al-Sultan Abdullah.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO untuk memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pengampunan penuh buat Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Asyraf, MKT UMNO mengambil maklum rasa dukacita dan keresahan ahli-ahlinya di akar umbi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Pada 31 Mac lalu, Najib tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Keresahan itu katanya, berdasarkan keputusan yang dilihat tidak adil, seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.