Guna duit, elaun sendiri bantu rakyat

Mohd Syahir (dua dari kanan) dan Mohd Huzaimy (dua dari kiri) pada majlis Himpunan Penerima Skim Kebajikan Dewan Udangan Negeri Pantai Irama di Bachok pada Sabtu.
Mohd Syahir (dua dari kanan) dan Mohd Huzaimy (dua dari kiri) pada majlis Himpunan Penerima Skim Kebajikan Dewan Udangan Negeri Pantai Irama di Bachok pada Sabtu.
A
A
A

BACHOK - "Saya guna duit sendiri, elaun untuk bantu rakyat." Demikian pendedahkan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman ketika mengulas isu peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang yang masih belum diterima sehingga hari ini.

Menurutnya, tiada keperluan untuk berunding mengenai perkara tersebut kerana peruntukan yang disalurkan itu akan terus diagihkan kepada rakyat mengikut kawasan masing-masing.

"Pandangan saya, agihan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang perlu disalurkan secara terus tanpa perlu rundingan sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Himpunan Penerima Skim Kebajikan Dewan Udangan Negeri (DUN) Pantai Irama di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.

Pada Jumaat, Anwar menegaskan beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Menurutnya, ia seperti mana yang dipraktikkan kerajaan ketika bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut Mohd Syahir berkata, isu peruntukan sepatutnya tidak perlu dipolitikkan dan tiada beza antara rakyat di kawasan kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka semua penduduk di negara ini.

Tambah Mohd Syahir, ia tidak sepatutnya dilengah-lengahkan kerana melibatkan kepentingan rakyat dan tidak kisah jika peruntukan tersebut dikurangkan berbanding ahli Parlimen kerajaan.

"Apa yang penting peruntukan itu diberikan kepada kami sebagaimana ahli Parlimen kerajaan," katanya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan tidak perlu risau untuk memberikan peruntukan tersebut kepada ahli Parlimen PN kerana pihaknya akan menggunakan semua peruntukan itu untuk membantu rakyat dan sama sekali tidak akan 'masuk poket' bagi tujuan kepentingan diri.

"Sebagai contoh kalau dapat RM500,000 kami akan tambah RM100,000 lagi untuk membantu rakyat," katanya.