Saya tak salahkan sekolah, kata bapa mangsa

Usaha mencari mangsa masih diteruskan.
Usaha mencari mangsa masih diteruskan.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Salah satu keluarga mangsa lemas di Sungai Kampung Sahari, di sini, petang tadi, reda dengan kejadian yang menimpa anaknya dan tidak akan sesekali menyalahkan pentadbiran sekolah terhadap apa yang berlaku.

Mazeni Kasman, 46, berkata, walaupun anak ketiganya, Muhammad Ammar, 13, masih belum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dia dan isterinya, Suriyani Khalid, 36, menaruh harapan tinggi agar anak ketiga dari lima beradik itu dapat ditemui.

Menurutnya, selain Muhamad Ammar, dua lagi anaknya iaitu Muhammad Afiq, 16 dan Muhammad Adib, 15 bersekolah dan tinggal di asrama Sekolah Islam As Sydiq di Kampung Sahari, di sini, sejak beberapa tahun lalu.

"Petang tadi, Muhammad Adib ada telefon saya dan dia cakap suruh ambil dia, abang dan adiknya lewat sikit atau dekat-dekat waktu Maghrib dan saya ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana pihak sekolah sebelum itu sudah beritahu untuk bawa pulang anak-anak hari ini.

"Jadi, saya sempat pergi bermain bola dulu dan lepas habis main bola, saya terkejut apabila mendapati banyak nombor yang tak dikenali menghubungi saya dan saya telefon nombor yang pertama dan terkejut dapat tahu Muhammad Ammar lemas," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Isnin Maarof, di sini, kemudiannya terus bergegas ke Sungai Kampung Sahari dan ketika itu pihak bomba sedang melakukan operasi SAR bagi mencari anaknya dan seorang lagi mangsa, Mohd Danish Mirzan, 16.

Katanya, menurut penceritaan daripada Muhammad Afiq, dia bersama tujuh lagi rakannya pergi ke sungai tersebut untuk mandi dan ketika itu air sungai berkenaan hanya berada pada paras pinggang sahaja sebelum tiba-tiba arus deras datang dan menghanyutkan mangsa.

"Muhammad Afiq dan Muhammad Adib dapat selamatkan diri dan mereka sempat meminta tolong dan sekarang ini saya hanya mampu berdoa agar anak saya dan rakannya itu dapat dijumpai dan sebagai orang Islam, saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang guru sekolah tersebut yang enggan dikenali berkata, pihak sekolah sudah memaklumkan kepada semua ibu bapa pelajar tersebut untuk mengambil anak masing-masing dan tidak menyangka kejadian malang tersebut menimpa para pelajar sekolah mereka.

Menurutnya, guru tersebut juga menafikan dakwaan bahawa para pelajar tersebut mandi di sungai berkenaan disebabkan masalah ketiadaan air yang melanda kawasan ini dan hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah ini yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian.

"Para pelajar ini mandi sungai tersebut tanpa mendapat kebenaran sekolah dan sebelum kejadian, memang hujan agak lebat dan kami tak sangka mereka pergi ke sungai ini untuk mandi," katanya.