'Tidak benar SPRM tiada kuasa siasat hakim' - Ahmad Rosli

Ahmad Rosli
Ahmad Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Badan Peguam Malaysia yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak kompeten atau tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat bekas Hakim Mahkamah Tinggi adalah tidak benar.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata, agensi berkenaan diwujudkan sebagai satu entiti untuk memerangi rasuah di Malaysia selain diberi kuasa oleh Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi menyiasat sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

Ujarnya, tiada agensi atau badan lain yang mempunyai kuasa lebih tinggi dan tidak mempunyai kecekapan untuk menyiasat kesalahan jenayah rasuah.

"Apabila SPRM menerima laporan atau aduan mengenai dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan maka agensi berkenaan bertanggungjawab untuk menyiasat.

"Setelah disiasat, jika menemukan bukti dan fakta untuk menyokong unsur rasuah atau salah guna kuasa, agensi itu kemudian akan merujuk kertas siasatannya kepada Peguam Negara.

"Selain itu, berdasarkan fakta siasatannya, dalam kes tertentu SPRM juga boleh merujuk kes untuk tindakan tatatertib mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 1975 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1997 dengan persetujuan Pendakwa Raya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebuah portal media tempatan melaporkan pada Rabu bahawa peguam mendakwa SPRM melangkaui bidang kuasanya dalam siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman mengesahkan dalam surat kepada peguam Najib Razak bahawa SPRM mendapati Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan kes SRC International.

Sebelum ini surat yang didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Surat yang bertarikh 20 Februari itu menyatakan siasatan SPRM mendapati terdapat isu salah laku oleh Mohd Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara berkenaan berkata, tanpa kecekapan SPRM dalam menyiasat kes SRC International maka kes tersebut tidak akan dapat bertahan dalam perbicaraan di mahkamah lagi mendapat sabitan yang kukuh serta melepasi peringkat rayuan oleh defendan.

"Dalam kes SRC International, terdapat sabitan yang kukuh serta melepasi beberapa peringkat rayuan oleh defendan.

"Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tiada sesiapa atau pihak yang berhak dikecualikan daripada penyiasatan oleh penguat kuasa undang-undang sama ada anggota pentadbiran, badan perundangan atau badan kehakiman," jelasnya.