KKM hargai doktor kontrak tolak mogok

 Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan terhadap doktor kontrak di seluruh negara berhubung penolakan usaha mogok baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan mogok yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak baru-baru ini disifatkan bukan satu platform yang tepat kerana ia merupakan ancaman dan provokatif terhadap institusi perubatan negara.

“Hebahan mengenainya yang telah ditularkan di laman sosial pada 3 hingga 5 April 2023 dan dijangka melibatkan 8,000 ke 12,000 doktor kontrak telah gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti yang dirancang oleh penganjur.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan sekali gus menolak anjurannya.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi KKM, Pengarah Kesihatan negeri dan hospital, serta ketua perkhidmatan dalam kesiapsiagaan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, terdapat kakitangan doktor kontrak yang merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula Isnin hingga Rabu susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatannya.

Dalam pada itu, Zaliha menambah, pihaknya amat menghargai segala komitmen dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam.

Jelas beliau, keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi terus menjadi inspirasi setiap daripada setiap kakitangan perubatan.

“Kod etika profesional dalam kalangan pegawai perubatan dan yang lainnya perlulah dipelihara dan sentiasa menjadi pedoman ke arah memartabatkan institusi perubatan di negara ini kepada suatu anjakan paradigma yang sentiasa disegani,” katanya.