Tiada mogok doktor kontrak di Kelantan

Tinjauan Sinar Harian di HRPZ II pada Selasa mendapati operasi perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan dalam mendapatkan rawatan.
Tinjauan Sinar Harian di HRPZ II pada Selasa mendapati operasi perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan dalam mendapatkan rawatan.
A
A
A

KOTA BHARU - Operasi perkhidmatan kesihatan di semua hospital dan klinik di negeri ini berjalan seperti biasa meskipun memasuki hari kedua doktor kontrak dilaporkan mahu melakukan mogok bermula pada Isnin hingga Rabu ini.

Tinjauan Sinar Harian di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati operasi perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan dalam mendapatkan rawatan.

Sumber doktor kontrak mendedahkan, kesemua mereka mengambil keputusan untuk bertugas seperti biasa tanpa melakukan mogok.

"Kami memilih meletakkan kepentingan awam di hadapan selari dengan profesion sebagai seorang doktor.

"Hal ini kerana, mogok boleh memberikan kesan yang tidak baik selain menghakis keyakinan masyarakat kepada kami," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurut beliau, setakat ini doktor kontrak tidak berdepan dengan masalah berkait dengan pembayaran gaji termasuklah elaun kerja lebih masa.

Bagaimanapun beliau menyokong segala tuntutan yang dikemukakan kumpulan doktor-doktor kontrak.

Sumber memberitahu, beliau berharap kerajaan dapat mendengar dan mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan itu.

"Walaupun kami ada pilihan untuk melakukan mogok bagi memastikan tuntutan itu didengari.

"Namun kami memilih untuk tidak berbuat demikian kerana menjadikan kepentingan awam sebagai keutamaan," katanya.

Sementara itu, seorang pesakit yang mahu dikenali sebagai Riz, 32, berkata, dia berterima kasih kepada kumpulan doktor pelatih yang memilih untuk tidak melakukan mogok.

"Saya boleh bayangkan jika mogok ini benar-benar berlaku, huru-haralah perkhidmatan kesihatan negara.

"Alhamdulillah proses mendapatkan rawatan berjalan lancar seperti biasa," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga kini terdapat 1,494 doktor kontrak yang berkhidmat di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

"Tidak ada mogok dilakukan sama ada cuti sakit atau kecemasan dibuat oleh mereka di negeri ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mogok tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula pada Isnin hingga Rabu ini.