Tiada mogok, doktor kontrak bertugas seperti biasa

Operasi Jabatan Pesakit Luar, Hospital Batu Gajah kelihatan lancar tanpa sebarang gangguan.
Operasi Jabatan Pesakit Luar, Hospital Batu Gajah kelihatan lancar tanpa sebarang gangguan.
A
A
A

BATU GAJAH - [DIKEMAS KINI] Operasi kesihatan pada hari pertama dijangka mogok doktor kontrak di Hospital Batu Gajah di sini pada Isnin dilihat berjalan lancar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di Jabatan Pesakit Luar serta Jabatan Kecemasan dan Trauma kelihatan tenang dan tiada gangguan berlaku terhadap orang ramai yang hadir mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, semua doktor dan kakitangan lain bertaraf kontrak melaksanakan tanggungjawab mengikut jadual yang ditetapkan.

"Bermula jam 8 pagi sehingga sekarang, semua doktor kontrak bertugas seperti biasa memberi perkhidmatan baik kepada pesakit yang hadir.

"Walaupun mereka kecewa berhadapan dengan isu ini, mereka tetap laksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Dakwaan mogok yang dikatakan berlangsung tiga hari, saya lihat tiada lagi setakat ini, semua berjalan lancar," katanya

Tinjauan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh sekitar jam 1 tengah hari pula mendapati Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan mendapati keadaan terkawal dan tidak berlaku kesesakan luar biasa.

Kebanyakan pesakit dan pelawat menunggu giliran untuk masuk ke wad bagi tujuan lawatan serta pemeriksaan pakar.

Sinar Harian melaporkan seramai 1,373 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat di Perak dinasihatkan untuk tidak menyertai mogok yang akan diadakan Isnin ini.

Operasi kesihatan Hospital Batu Gajah berjalan seperti biasa.
Operasi kesihatan Hospital Batu Gajah berjalan seperti biasa.

Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan, penganjuran mogok itu dilihat menyalahi Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Sementara itu, di Johor, situasi tenang turut dilaporkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) meskipun dilaporkan doktor kontrak merancang melakukan mogok.

Hujan pada sebelah pagi menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas untuk memasuki hospital berkenaan.

Perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berjalan lancar pada Isnin.
Perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berjalan lancar pada Isnin.

Tinjauan yang dilakukan wad kecemasan mendapati berada di dalam keadaan baik dan menerima pesakit seperti biasa.

Orang ramai turut dilihat berada di kaunter lobi hospital dan keadaan dilihat lancar dengan pesakit yang hadir keluar masuk seperti biasa.

Beberapa anggota polis dilihat melakukan pemantauan di sekitar kawasan hospital berkenaan sejak awal pagi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pesakit yang hendak mendapatkan rawatan pesakit luar di poliklinik HSA bagi temu janji menyatakan masa menunggu lebih lama berbanding sebelum ini.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Ahmad Zain berkata, beliau membawa anak perempuannya yang hamil untuk menjalani pemeriksaan rutin sudah menunggu lebih dua jam untuk bertemu doktor.

"Saya dan anak biasanya datang jam 8.30 pagi dengan urusan pemeriksaan selesai antara jam 10 atau 10.30 pagi.

"Namun hari ini, sudah jam 11.30 pagi pun anak masih belum dipanggil bertemu doktor," katanya.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin melaporkan bahawa ribuan doktor kontrak dijangka mengadakan mogok kerana tidak berpuas hati tuntutan mereka tidak dilayan meskipun kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menanggani isu tersebut.

Sebelum ini, kumpulan doktor kontrak telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah merancang mengadakan mogok selama tiga hari bermula Isnin sehingga Rabu kerana membantah dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak yang dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu.