Pemuda UMNO bakar bendera Israel

Pemuda UMNO yang diketuai Dr Muhamad Akmal bertindak membakar bendera Israel di hadapan Masjid Jamek, Kampung Baru Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pemuda UMNO yang diketuai Dr Muhamad Akmal bertindak membakar bendera Israel di hadapan Masjid Jamek, Kampung Baru Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO pada Jumaat, membakar bendera Israel sebagai tanda solidariti terhadap umat Palestin semasa Himpunan Solidariti Bersama Palestin di Masjid Jamek, Kampung Baru.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan itu sebagai simbolik terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap umat Islam Palestin baru-baru ini.

“Kita tidak pernah mengiktiraf langsung kewujudan negara Israel ini.

“Maka kemarahan kita, kita nyatakan begitu rupa (bakar bendera Israel) kerana kita tidak boleh pergi ke tempat mereka, jadi ini menunjukkan solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak pernah pudar walau apa pun yang terjadi,” katanya pada sidang media di luar Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat.

Dalam pada itu katanya, susulan himpunan ini Pemuda UMNO akan menggerakkan akar umbinya bagi mengadakan himpunan serupa di seluruh negara.

“Kita akan lancarkan seluruh negara dan di setiap peringkat bahagian untuk himpunan solidariti,” katanya.

Dalam pada itu sebagai tindakan lanjut katanya, Pemuda UMNO akan menghantar surat bantahan secara rasmi kepada Kementerian Luar Negeri pada Isnin minggu hadapan.

Pemuda UMNO akan himpunan solidariti ini di seluruh negara.
Pemuda UMNO akan himpunan solidariti ini di seluruh negara.

“Ini supaya ia dapat dibawa ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seterusnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita juga menggesa seluruh negara Islam bersatu padu menentang keganasan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh rejim Zionis kepada saudara kita di Palestin,” katanya.

Terdahulu pada Rabu, Polis Israel menyerang puluhan umat Islam di pekarangan Masjid al-Aqsa sebelum subuh.

Tindakan zalim itu mencederakan sekurang-kurangnya 12 jemaah dan menangkap kira-kira 350 yang lain.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis meningkat sejak tahun lalu dan ada kebimbangan ia akan bertambah buruk pada bulan Ramadan apabila bulan suci umat Islam itu bertembung dengan dua perayaan keagamaan Yahudi dan Kristian.

Kumpulan Palestin menyelar serangan Israel itu yang disifatkan mereka sebagai jenayah.