Kerajaan timbang subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah, Sarawak

Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman. - Gambar hiasan. - Foto Bernama
Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman. - Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah dan Sarawak memandangkan mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibawa kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk diperhalusi.

“Baru-baru ini menteri ada menyentuh mengenai penambahan kapasiti penerbangan, tapi ini (kawal harga tiket) di luar bidang kuasa kerajaan melainkan kita beri subsidi.

“Subsidi tiket pelajar ini masuk akal juga, mungkin kita kena runding dengan syarikat penerbangan. Kalau ada rekod atau sijil pelajar, mungkin setahun sekali kita boleh berikan (subsidi tiket). Boleh, nanti saya akan bincang dengan menteri.

“Saya tahu ia menjadi satu masalah kepada keluarga dari Sabah dan Sarawak atau dari sini (Semenanjung) yang belajar di sana, tak semua orang senang. Mungkin ada yang terbeban kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Se-Malaysia di sini, pada Jumaat.

Pada 14 Mac lalu, Anthony berkata, kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik ekoran ia mungkin menjejaskan sektor pengangkutan udara itu.

Sebaliknya, kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.