Bom Sri Lanka: Dua pengebom anak peniaga rempah kaya

Adik-beradik tersebut didakwa meletupkan diri mereka ketika para tetamu sedang beratur untuk sarapan pagi di Hotel Shangri-La.
A
A

COLOMBO - SRI LANKA. Dua daripada tujuh pengebom bunuh diri di Sri Lanka pada Ahad lalu merupakan anak kepada peniaga rempah yang kaya.

Adik-beradik, Ilham dan Inshaf Ibrahim berusia lewat 20-an itu dilaporkan meletupkan diri mereka ketika para tetamu sedang beratur untuk sarapan pagi di Hotel Shangri-La dan Cinnamon di ibu negara.

Siasatan awal polis mendapati mereka mengendalikan 'sel keluarga' sendiri, namun tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa mereka terlibat atau tidak.

Salah seorang daripada lelaki itu dilaporkan memberi maklumat peribadi palsu manakala seorang lagi memberikan butiran alamat sebenar yang membawa kepada serbuan polis ke kediaman keluarganya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Ruwan Wijewardene berkata, kebanyakan pengebom itu dipercayai orang terpelajar dan berasal daripada keluarga pertengahan atau kelas atasan.

Dalam satu kenyataan lain, Duta Amerika Syarikat ke Sri Lanka, Alaina Teplitz memberitahu negara itu masih terdedah dengan plot serangan ganas dan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada. - Agensi