Azalina tidak wajar beri pandangan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Wan Azliana
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Wan Azliana
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said tidak wajar memberi pandangan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan Ghazali melalui surat bertarikh 20 Mac 2023.

Peguam, Wan Azliana Wan Adnan berkata, pengesahan yang dilakukan oleh beliau boleh menjatuhkan sistem kehakiman negara.

Katanya, sebagai seorang bekas peguam dan menteri undang-undang Azalina sepatutnya faham dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

“Azalina seharusnya memberitahu keputusan siasatan SPRM itu sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman dan tidak mengikut protokol.

“Oleh yang demikian siasatan tersebut tidak boleh lagi dirujuk dan diterima sebagai perkara yang sah. Surat balas itu seolah-olah mempersoalkan integriti kehakiman dan mempertikaikan keputusan mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Wan Azliana, tindakan itu mungkin bertujuan untuk menimbulkan persepsi bagi memudahkan proses pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sekarang ada petisyen untuk pengampunan, mereka boleh menggunakan perkara tersebut untuk menguatkan lagi sokongan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.